Baca detail, jangan sampai tertipu - Utusan Malaysia

Baca detail, jangan sampai tertipu

GAMBAR produk dalam talian memang menarik perhatian pembeli kerana dirakam secara profesional dan menggunakan model cantik. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU perkara tentang wanita yang tidak boleh dinafikan oleh kaum lelaki ialah kehebatan mereka membeli-belah. Perkembangan era teknologi yang segalanya dihujung jari menjadikan tabiat ini semakin menjadi-jadi.

Tidak percaya? Dalam seminggu berapa kali barangan sampai di muka pintu rumah atau pejabat? Saya, hampir setiap hari loceng rumah berbunyi menandakan barangan yang dibeli sudah sampai.

Jika bukan barang saya, pasti barang ibu atau adik-beradik yang lain. Kadang-kadang sehari sampai tiga pesanan tiba sehingga ayah hanya mampu menggeleng dan menggaru kepala yang tidak gatal. Itu belum lagi barangan yang sampai di pejabat.

Daripada pakaian, produk kecantikan, permainan anak ke perabot atau aksesori dapur semuanya mahu dibeli secara dalam talian, lebih-lebih lagi semasa negara berdepan cabaran penularan pandemik Covid-19 yang menjadikan medium berbelanja secara dalam talian sebagai pilihan utama untuk melepaskan gian apabila tidak dapat ke pusat beli-belah.

Lebih menarik barangan yang dijual secara dalam talian ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding di kedai fizikal kerana penjual tidak perlu membayar kos sewa dan utiliti kedai.

Suka membeli adalah satu perkara yang bersifat subjektif kerana selagi ia membuatkan wanita gembira dan tidak membebankan seseorang dengan hutang, maka ia tidak salah.

Pun begitu, nasihat saya agar utamakan dahulu perbelanjaan keperluan sebelum berhabis duit pada barangan kehendak. Tak guna menyesal apabila jumlah wang dalam akaun semakin tenat dan mula meminjam sana-sini untuk menampung hidup sehingga akhir bulan.

Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini sudah pasti golongan wanita mempunyai senarai panjang untuk membeli-belah. Masa inilah segala rekaan pakaian untuk diri dan keluarga dibeli, kuih-muih dan biskut raya, perhiasan rumah dan perabot mahu ditukar walaupun harapan untuk berkumpul bersama keluarga amat tipis.

JANGAN SAMPAI TIPAH TERTIPU

Pun begitu, ia tidak menghalang golongan ini untuk melakukan survey secara dalam talian dan menyenaraikannya di dalam troli pembelian. Apabila sudah puas banding-membanding antara penjual, pastinya pembelian akan dibuat.

Walaupun kehebatan wanita dalam hal membeli-belah merupakan satu kelebihan, namun lebih baik gunakan sedikit masa untuk membaca maklumat barangan dan ulasan daripada pembeli lain untuk mengelakkan daripada tertipu dan ditipu.

Maklumlah dalam dunia siber ini, acap kali kita mendengar penipuan seperti scam yang akhirnya membuatkan pembeli menangis mengenang barangan yang dibeli tidak sampai ke tangan, ditambah pula kehabisan wang.

Tidak kurang pula ia datang daripada kesalahan pembeli itu sendiri yang tidak membaca detail barangan dan hanya bergantung pada gambar semata-mata. Apabila barang sampai, ia menjadi bahan jenaka satu rumah. Walaupun kedengaran mencuit hati, namun ia tetap berlaku pembaziran, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi negara yang masih terumbang-ambing.

Justeru, jadilah pengguna yang bijak dengan memperuntukkan sedikit masa terutama sebelum tidur untuk membaca ulasan, maklumat dan buat perbandingan harga tentang sesuatu barangan yang hendak dibeli. Maklumlah membeli secara dalam talian tidak sama seperti fizikal yang membolehkan kita menyentuh dan mencuba.

Pengguna juga disaran membeli barangan di platform yang yang dikenali serta mempunyai sistem keselamatan tinggi bagi mengelakkan daripada ditipu.

Banyak platform dalam talian menyediakan sistem dompet sebagai langkah keselamatan yang berperanan sebagai orang tengah yang memegang duit sehingga pembeli menerima barangan tersebut secara sempurna sebelum dilepaskan kepada peniaga.

BIJAK

Oleh itu, rajinkan diri membelek barangan yang diterima sebelum melepaskan duit kepada penjual. Jika berlaku, penjual akan menggunakan pelbagai alasan untuk melambat atau tidak memulangkan wang anda.

Selain itu, lihat juga lokasi pembelian kerana penghantaran akan memakan masa terutama pada musim perayaan ini. Jika anda membeli di luar negara atau agak jauh dari tempat tinggal, mungkin barangan yang dipesan tidak akan tiba seperti yang diharapkan. Berayalah anda dengan pakaian atau aksesori tahun-tahun sebelum ini.

Antara perkara yang penting juga adalah jangan meletakkan harapan yang tinggi terhadap sesuatu produk kerana ia tidak semesti sama seperti apa yang diperagakan model dan cantik terletak di badan sendiri. Begitu juga dengan warna kerana penjual akan meletakkan gambar yang dirakam secara profesional, justeru mungkin ada sedikit perbezaan.

Sebagai pengguna, anda perlu bijak mengambil kesempatan terhadap kod, baucar atau kupon untuk mendapatkan potongan harga. Dapatlah anda berjimat dengan lebih banyak pada musim perayaan ini.

Perkara paling penting adalah mengetahui hak anda sebagai pembeli dengan mengambil tahu atau bertanya kepada penjual mengenai harga penuh yang perlu dibayar termasuklah cukai dan kos-kos lain, jika ada, nama penjual atau syarikat, nombor pendaftaran perniagaan, maklumat untuk dihubungi seperti e-mel, alamat atau nombor telefon, kaedah pembayaran yang diterima, terma dan syarat serta anggaran tempoh penghantaran.

Melalui maklumat-maklumat ini akan memudahkan anda membuat laporan sekiranya ditipu dan sebagainya. Jadilah pengguna yang bijak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×