KUANTAN: Seorang bekas penagih yang kini menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Gambang di sini, berazam berubah bagi menebus hubungan dengan anak perempuannya yang terpisah sejak lahir.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Zam, 32, dan berada di Puspen Gambang selama hampir 11 bulan, mengakui ini bukan kali pertama dirinya melalui proses pemulihan.
Sebelum ini, katanya, dia pernah ditempatkan di Puspen Jerantut dan pusat pemulihan di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Terengganu.
Namun katanya, setiap kali keluar, dia kembali terjebak ke kancah penagihan akibat pengaruh rakan di kampung halamannya di Terengganu.
“Saya anak yatim piatu dan merupakan duda anak satu. Bekas isteri dan anak saya kini berada di Kuala Terengganu. Enam tahun saya tak pernah jumpa anak saya. Kali terakhir saya melihat anak ketika dia dilahirkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Puspen Gambang.
Menceritakan pengalamannya terjebak dengan najis dadah sejak usia 15 tahun, Zam berkata, pengaruh rakan-rakan di sekolah menjadi faktor utama yang mendorongnya mencuba pil kuda sehingga akhirnya menjadi ketagih.
Setiap kali keluar dari pusat pemulihan, Zam berkata, dia sudah berusaha untuk meninggalkan dadah namun setiap kali pulang ke kampung, godaan daripada rakan-rakan lama membuatkan dia kembali terjerumus.
“Kalau fikir daripada hati kecil saya, saya memang tidak mahu kembali ke dunia najis dadah ini. Tetapi saya tak tahu apa cabaran yang menanti selepas keluar nanti. Pengaruh rakan itu sangat kuat. Kalau boleh, saya tidak mahu keluar dan masuk pusat ini,” katanya.
Namun, kali ini, Zam bertekad untuk berubah tambahan di Puspen Gambang, dia banyak belajar tentang agama dan menyedari bahawa masih ada harapan untuk dirinya.
“Apa yang saya tahu dulu, bila di luar, saya ambil dadah dan tidur sahaja. Saya tak tahu cara untuk berhenti dan perlukan seseorang membimbing saya. Sekarang saya belajar, rupanya ada banyak cara untuk berubah, cuma saya sendiri yang tak memilih jalan itu sebelum ini,” katanya memberitahu, ini kali pertama dirinya menyambut Aidilfitri di Puspen Gambang.
Bagi Zam, motivasi utamanya kini adalah anak perempuannya yang sudah lama terpisah.
“Setakat, niat saya bila keluar nanti adalah untuk mencari anak saya. Saya nak tunjuk pada dia bahawa saya boleh berubah. Dia anak saya dan saya mahu dia tahu bahawa ayahnya sudah berusaha menjadi insan yang lebih baik,” katanya.
Zam berharap dapat membina semula kehidupannya dan tidak lagi terjerumus ke kancah penagihan. Baginya, kehidupan di Puspen kali ini bukan sekadar hukuman, tetapi peluang kedua untuknya kembali ke pangkal jalan. – UTUSAN











