MARAN: Seorang wanita dari Kampung Baru Chenor di sini, Siti Mardinah Moktaruddin berazam meneruskan perjuangan suaminya menuntut penyelesaian terhadap masalah struktur rumah mereka yang didakwa retak akibat kerja-kerja pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Suami Siti Mardinah, Shamsuri Mohd. Noor, 50, yang gigih memperjuangkan perkara itu ditemukan meninggal dunia dalam tidur kelmarin, meninggalkan isteri dan empat anak yang masih mengharapkan pembelaan.
Sebelum ini, Allahyarham Shamsuri meluahkan rasa kecewa mengenai keadaan rumahnya itu yang didakwanya mengalami keretakan akibat kerja-kerja pembinaan projek ECRL yang hanya berjarak lima meter dan hanya dipisahkan dengan dinding zink.
Meskipun aduan telah dibuat kepada pihak kontraktor, sehingga kini tiada tindakan diambil untuk membaiki kerosakan tersebut.
Siti Mardinah, 43, berkata, tuntutan tersebut tetap diteruskan walaupun suaminya sudah tiada.
“Perjuangan arwah suami saya akan teruskan kerana rumah ini adalah tempat berteduh keluarga kami,” katanya semalam.- UTUSAN











