Individu, kumpulan perlu henti bina rumah ibadat

Individu, kumpulan perlu berhenti bina rumah ibadat atas tanah bukan milik

WAN AHMAD FAUZI HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Individu atau kum­pulan orang bukan Islam perlu segera berhenti membina rumah ibadat di atas sebarang ta­nah atau kawasan yang bukan miliknya kerana ia menyalahi un­dang-undang dan perlembagaan negara.

Malah tindakan mendirikan rumah ibadat tanpa menerusi per­satuan atau institusi yang sah berdaftar harus ditolak demi mematuhi kehendak Perkara 11(3) Perlembagaan.

Pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain menegaskan, tindakan bukan orang Islam me­­nuntut hak ke atas mana-ma­na lokasi yang pernah atau sedang digunakan untuk tujuan ibadat tanpa organisasi yang sah tidak boleh dinormalisasikan.

“Mereka boleh membina rumah ibadat di atas tanah yang dimiliki oleh persatuan agama mereka atau setelah mendapat kebenaran pemilik tanah. Na­­mun, semua itu tetap per­lu mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya ke­pada Utusan Malaysia, semalam.

Menurutnya, setiap persa­tuan bukan Islam perlu mengamalkan tadbir urus yang jelas dalam perlembagaan mereka agar harta agama mereka ditadbir secara sah dan telus.

Dalam usaha memperkemaskan sistem pentadbiran rumah ibadat bukan Islam, Jabatan Pen­daftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) disaran mengadakan sesi libat urus bersama persa­tuan keagamaan bagi mewujudkan garis panduan yang lebih ob­jektif.

Wan Ahmad berkata, sikap bertolak ansur melampau di luar batasan Perlembagaan hanya akan mengundang kewujudan kumpulan ekstremis yang cuba mengambil kesempatan atas nama agama.

“Sudah tiba masanya kerajaan lebih tegas dalam menguatkuasakan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan bagi mengawal hal ehwal agama bukan Islam.

“Pembinaan rumah ibadat bukan Islam perlu mematuhi undang-undang sedia ada, manakala aspek kawalan serta amalan agama boleh diuruskan oleh institusi keagamaan masing-masing dengan menggunakan sumber dana mereka sendiri,” katanya.

Perlembagaan turut memperuntukkan bahawa tiada individu boleh dipaksa membayar cukai yang hasilnya diperuntukkan khas bagi agama selain agamanya sendiri.

“Kedudukan ini berbeza dengan Islam sebagai agama Persekutuan, di mana institusi pendidikan Islam boleh dibiayai oleh kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya.

Beliau menegaskan, aktiviti keagamaan selain Islam tidak boleh dibiayai menerusi cukai kerajaan atau kumpulan wang yang disatukan kerajaan, sebaliknya mereka boleh mengutip derma untuk tujuan keagamaan.

“Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan juga boleh mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam.

“Selain itu, Perlembagaan tidak membenarkan sebarang perbuatan bercanggah dengan undang-undang berkaitan moraliti, ketenteraman serta kesihatan awam dalam amalan keagamaan,” katanya.

Dalam pada itu, Peguam Kanan dan Ketua Sekretariat Pertubuhan Kor Akwam 181, Mohd. Zainuddin Omar berkata, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing, namun menurut Perkara 11(3)(c) jelas memperuntukkan hak kepada satu-satu kumpulan agama untuk memperoleh dan memiliki harta, dan memegang serta menguruskannya mengikut undang-undang.

Malah, Perkara 11(5) memperuntukkan Fasal tentang kebebasan beragama ini tertekluk kepada undang-undang dan tidak membenarkan sebarang tindakan yang bercanggah dengan undang-undang termasuklah membina rumah ibadat di tanah yang dimiliki oleh orang lain atau tanah yang tidak diperoleh secara sah mengikut Perkara 11(3)(c).

Selain itu, kebebasan beragama di bawah Perkara 11 tidak boleh mengatasi kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan perlu memastikan bahawa kebebasan beragama dan tempat di mana rumah beribadat bukan Islam didirikan tidak boleh mempunyai unsur untuk mempropaganda agama itu kepada orang Islam atau memberi kekeliruan orang luar tentang status Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

“Berkenaan pemilikan harta, sewajarnya proses undang-undang dipatuhi berkenaan pemilikan tanah dan hanya boleh didirikan di atas tanah milik sendiri sebagaimana peruntukan Perkara 11(3)(c).

“Terikat dengan Perkara 11(2) dan 11(5), Kerajaan juga tidak boleh memberi tanah secara percuma sama ada melalui kelulusan penggunaan sahaja atau melalui proses pemberimilikan tanah untuk tujuan rumah ibadat bukan orang Islam kerana itu bercanggah dengan Perlembagaan.

“Sebarang pemberimilikan tanah mestilah melalui kelulusan permohonan tanah kerajaan mengikut proses undang-undang dengan kadar premium mengikut kadar semasa yang diberikan kepada individu atau syarikat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×