Hatinya terpaut untuk memiliki haiwan peliharaan ini selepas menonton salah satu episod kartun, Upin & Ipin, dua tahun lalu.
Walaupun kedengaran lucu, tetapi itulah permulaan yang menggerakkan Rosleen Ngagai, 23, untuk membela ikan laga.
Dalam episod tersebut, ikan laga digambarkan sebagai ikan kecil yang mempunyai kecantikan luar biasa, lantas membuatkannya tertarik.
“Saya pernah mencuba nasib menangkap ikan itu di kawasan parit kecil di sawah, tetapi gagal,” katanya kepada Seri.
Akibat kegagalan itu, Rosleen sanggup membeli ikan tersebut pada harga RM150 seekor daripada penduduk kampung.
Disebabkan tiada pengalaman, anak jati Sibu, Sarawak ini mula dihantui kerisauan yang ikan itu tidak akan hidup lama.
Katanya, ketika itu, maklumat tentang penjagaan ikan laga hanya dipelajari menerusi episod dalam siri kartun berkenaan.
Selebihnya, dia menjalankan penyelidikan sendiri melalui pembacaan di Internet.
Cabaran penjagaan
Rosleen menamakan ikan laga itu sebagai Oyen.
Ini kerana bahagian badan haiwan itu yang berwarna jingga manakala siripnya ungu.
Oyen merupakan ikan jantan.
Pada mulanya, haiwan itu diletakkan di dalam bekas kaca kecil, namun kemudian dipindahkan ke akuarium lebih besar kerana sifat agresifnya.
“Disebabkan Oyen suka melompat keluar, saya pindahkannya ke akuarium berpenutup.
“Akuarium pula tidak boleh diletakkan di bawah cahaya lampu atau di kawasan cerah kerana Oyen akan bertindak ganas dengan melaga-lagakan dirinya selepas melihat pantulan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, air akuarium biasanya ditukar seminggu sekali.
Hal itu kerana, sisik ikan laga mudah sensitif sekiranya kualiti air tidak bersih atau mempunyai kandungan klorin.
Rosleen turut memastikan suhu air akuarium berada dalam lingkungan 24 hingga 28 darjah Celsius demi memastikan kesihatan Oyen terjaga.
Dari segi pemakanan pula, palet khas diberikan setiap hari di samping makanan tambahan seperti cacing darah beku.
“Saya cuba elakkan memberi makan terlalu banyak kerana ikan laga boleh mengalami masalah kembung jika makan berlebihan,” katanya,
Bagi Rosleen, Oyen bukan sekadar haiwan peliharaan, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
Katanya, memelihara ikan laga bukan hanya sekadar melihat keindahannya, tetapi juga memahami keperluan dan memberikan perhatian yang secukupnya.










