‘Baju perempuan ada fesyen itu ini, baju lelaki itu jugalah.’
Itu antara luahan kaum lelaki apabila menyentuh mengenai pakaian hari raya.
Walaupun pakaian ‘seragam’ kaum lelaki di hari raya sinonim dengan baju Melayu, namun tidak bermakna lelaki tidak boleh berfesyen.
Hanya dengan sedikit penggayaan dan pemilihan baju yang sesuai boleh menjadikan lelaki tampil kacak dan berlainan di pagi Syawal.
Pereka gaya, Mohamed Danish Haqeem berkata, pemakaian bukan sekadar memakai pakaian, tetapi cara individu membawanya dengan keyakinan dan gaya yang tersendiri.
Pertama, pilih rona baju yang sesuai dengan tona kulit untuk menyerlahkan lagi gaya.
“Kulit cerah sesuai dengan warna-warna pastel, rona tanah dan tona permata seperti hijau zamrud atau biru untuk menyerlahkan raut wajah.
“Kulit sawo matang pula sesuai dengan warna-warna hangat seperti maroon, mustard, hijau zaitun dan coklat untuk memberi kesan lebih eksklusif.
“Kulit gelap pula boleh memilih warna-warna terang seperti biru diraja, burgundy, ungu gelap dan hijau tua untuk menaikkan seri di samping mencipta kontras yang elegan,” katanya.
Selain itu, untuk penampilan yang lebih kemas, pastikan potongan baju selesa, tidak terlalu ketat atau terlalu besar.
Pilihan slim fit bagi yang inginkan tampilan moden manakala regular fit pula mencipta gaya yang lebih klasik.
Jika memilih menggayakan kurta, padankan dengan seluar tailored fit atau seluar paras buku lali untuk gaya moden. Boleh juga lipat sedikit bahagian hujung seluar untuk efek santai.
“Jika hendak menggayakan kurta yang lain daripada lain, boleh guna teknik lapisan iaitu cuba lapiskan dengan sampin tenun moden atau selendang,” kongsinya.
Begitupun, Danish yang juga dikenali sebagai Danni (StyledbyDH) sendiri lebih gemarkan baju melayu pada hari pertama raya kerana kelihatan lebih formal dan menghormati tradisi.
AKSESORI TAMBAHAN
Tambahan aksesori membuatkan baju melayu yang polos tampil luar biasa dan lebih menarik.
Antara aksesori yang boleh dipadankan adalah jam tangan. Pilih jam tangan rekaan minimalis untuk gaya moden atau jam vintaj untuk tampilan klasik.
Pilih juga butang baju melayu rona emas atau perak untuk memberikan gaya mewah serta sebentuk cincin perak dengan rekaan moden menambahkan aura kelelakian.
“Sampin moden boleh memberi statement look, pilih fabrik tenun eksklusif. Sepatu pula, boleh padankan Loafers atau kasut oxford tanpa tali untuk gaya klasik jika memakai baju melayu.
“Jika pakai kurta, boleh padankan dengan slip on sneakers atau mules untuk efek kasual chic.
“Aksesori yang kena pada tempatnya dan tidak berlebihan memberikan gaya elegan di pagi lebaran,” kongsinya.
Paling penting, kunci kepada kekacakan seorang lelaki terletak pada keyakinan.-UTUSAN











