GAZA: Israel berulang kali menggunakan makanan dan bantuan kemanusiaan antarabangsa sebagai alat tekanan kolektif terhadap rakyat Palestin sepanjang 17 bulan peperangan yang menghancurkan Gaza.
Penduduk awam di wilayah itu mengalami kekurangan makanan melampau dan mengheret keadaan hampir kepada krisis kebuluran sepanjang perang.
Puluhan kanak-kanak meninggal dunia akibat kelaparan dan pihak berkuasa Israel terus membiarkan 2.3 juta penduduk yang bergantung kepada bantuan kemanusiaan kekurangan bekalan makanan.
Awal Mac lalu, Israel sekali lagi menyekat kemasukan bantuan tersebut, bahkan secara unilateral memecahkan gencatan senjata yang bertahan sejak Januari dengan melancarkan semula serangan ke seluruh Gaza dan membunuh ratusan lagi rakyat Palestin.
Berikut adalah beberapa siri serangan kejam Israel menyasarkan bantuan kemanusiaan sebagai ‘alat hukuman’ terhadap Gaza:
9 OKTOBER 2023
Israel mengumumkan ‘sekatan menyeluruh’ di Gaza, menghentikan kemasukan semua makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api.
Menteri Pertahanan ketika itu, Yoav Gallant berjanji untuk mengambil tindakan terhadap ‘haiwan manusia’ dan mengarahkan pengepungan menyeluruh terhadap Gaza.
21 OKTOBER 2023
Trak bantuan pertama memasuki Gaza melalui laluan darat dari Mesir ketika tentera Israel meneruskan pengeboman maut selama dua minggu.
Tentera Israel akhirnya membenarkan sejumlah trak bantuan yang sangat terhad memasuki kawasan itu setelah menerima tekanan antarabangsa.
24 NOVEMBER 2023
Gencatan senjata sementara dicapai antara Israel dan Hamas, membenarkan sedikit peningkatan dalam kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi antarabangsa melaporkan jumlah bantuan yang masuk ke Gaza sangat terhad untuk memenuhi keperluan penduduk, kebanyakannya adalah kanak-kanak.
Namun, gencatan senjata kemudian berakhir seminggu selepas ia bermula dan serangan tanpa henti Israel disambung kembali sehingga mengorbankan lebih ramai orang awam, wartawan, pekerja bantuan dan petugas perubatan.
29 FEBRUARI 2024
Israel membunuh sekurang-kurangnya 112 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 750 yang lain apabila melepaskan tembakan ke arah penduduk yang menunggu bantuan makanan di Bandar Gaza, dalam kejadian dikenali sebagai ‘pembunuhan tepung’.
Tentera Israel melancarkan banyak serangan serupa terhadap konvoi bantuan yang menyelamatkan nyawa, konon mendakwa menyasarkan penyerang tanpa memberikan bukti.
PBB dan agensi antarabangsa lain serta pekerja bantuan berulang kali melaporkan pihak berkuasa sengaja menyekat banyak trak bantuan yang sepatutnya memasuki kawasan tersebut.
Serangan Israel, disertai dengan sekatan bantuan dan keadaan meruncing akibat operasi darat, menyebabkan konvoi bantuan diserang serta dirompak.
1 APRIL 2024
Serangan dron Israel menyasarkan sebuah konvoi bantuan yang membawa World Central Kitchen (WCK), membunuh enam pekerja bantuan antarabangsa dan seorang pemandu Palestin.
WCK terpaksa menghentikan operasi kemanusiaannya, sama seperti banyak organisasi bantuan antarabangsa lain yang terpaksa menghentikan sementara atau secara kekal bantuan kepada rakyat Palestin.
6 OKTOBER 2024
Tentera Israel memulakan pengepungan besar-besaran di utara Gaza, menjadikan seluruh kawasan tersebut sebagai zon pertempuran dan mengeluarkan arahan pengosongan paksa kepada ratusan ribu rakyat Palestin.
Pengepungan di utara, disertai serangan Israel di seluruh bahagian lain, berlanjutan hingga gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.
Kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza sangat dihadkan oleh Israel sepanjang musim sejuk, di tengah suhu yang rendah.
19 JANUARI 2025
Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa, Israel tetap melanggar persetujuan yang dicapai dalam perjanjian unruk membenarkan lebih banyak trak bantuan memasuki Gaza.
Bagaimanapun, jumlah kemasukan dilaporkan jauh lebih sedikit daripada yang dipersetujui menyebabkan beberapa pertikaian berlaku sepanjang fasa awal yang meliputi pertukaran tebusan dan tahanan Palestin.
Kerajaan Israel turut menyekat kemasukan ribuan rumah bergerak yang sepatutnya menempatkan rakyat Palestin, bersama peralatan berat diperlukan untuk pembersihan runtuhan dan infrastruktur musnah.
2 MAC 2025
Untuk kali kedua sejak permulaan perang, Israel menghentikan kemasukan semua bantuan kemanusiaan ke Gaza dan arahan itu masih berkuat kuasa sehingga kini.
Israel turut menamatkan gencatan senjata pada 18 Mac dan melancarkan serangan bom paling dahsyat di Gaza, membunuh lebih 400 rakyat Palestin dan mencederakan 500 yang lain, kebanyakan kanak-kanak, hanya pada hari pertama.










