Kesederhanaan kunci kemenangan sambut Syawal

Kesederhanaan kunci kemenangan sambut Syawal

AIDILFITRI bukan sekadar perayaan tetapi cerminan kesyukuran, kebersamaan dan kesederhanaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERAYAAN Aidilfitri yang bakal disambut dalam tempoh beberapa hari lagi sememangnya dinanti-nantikan oleh umat Islam.

Aidilfitri bukan sekadar meraikan kemenangan menahan diri dan hawa nafsu tetapi juga melambangkan kesyukuran, silaturahim dan nilai kesederhanaan. Namun, di sebalik kegembiraan menyambut Syawal, rakyat turut berdepan dengan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, menuntut perancangan kewangan lebih bijak agar perayaan kekal bermakna tanpa membebankan.

Kenaikan harga makanan, barangan keperluan, petrol dan tol memberi tekanan kepada isi rumah, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Dalam situasi ini, pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan yang dianjurkan dalam Islam wajar dijadikan panduan.
Ia selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ ayat 27: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan.”

Oleh itu, menyambut Aidilfitri dengan bijak dan sederhana bukan sahaja meringankan beban kewangan, tetapi juga lebih berkat dan bermakna.

TREND PERBELANJAAN RAYA

Aidilfitri wajar diraikan dengan kesederhanaan dan berhemah. Platform e-dagang kian menjadi pilihan kerana harga berpatutan dan kemudahan penghantaran, manakala pakaian terpakai atau barangan bundle semakin digemari kerana lebih menjimatkan dan mengelakkan pembaziran.

Penggunaan e-dompet bukan sahaja mempercepatkan transaksi, tetapi juga membantu mengawal perbelanjaan.

Bagi yang berjauhan, panggilan video menjadi alternatif tanpa perlu berbelanja besar, sementara aplikasi pengurusan bajet membantu merancang kewangan agar perbelanjaan lebih terkawal.

Namun, sikap berhati-hati tetap diperlukan, terutama dengan kemudahan Beli Dulu, Bayar Kemudian (BNPL), yang boleh membawa kepada beban hutang jika tidak dikawal.

Aidilfitri yang bermakna bukan tentang kemewahan, tetapi tentang kesyukuran dan keseimbangan.

Berbelanja secara sederhana, mengutamakan keperluan serta mengelakkan pembelian impulsif adalah kunci agar perayaan kekal meriah tanpa menjejaskan kestabilan kewangan.

KAWAL KOS PERBELANJAAN
Menyedari tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan khususnya melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mengambil langkah proaktif bagi membantu rakyat berbelanja secara berhemah tanpa menjejaskan kemeriahan Aidilfitri.
Skim Harga Maksimum Musim Perayaan diperkenalkan bagi mengawal harga barangan asas seperti ayam, telur dan gula agar kekal stabil ketika permintaan tinggi.

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula diberikan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk meringankan beban kewangan mereka.

Selain itu, program Jualan Rahmah Ramadan dan Aidilfitri menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah di seluruh negara.

Kerajaan turut memperketat pemantauan bagi memastikan tiada peniaga menaikkan harga secara tidak munasabah. Langkah-langkah ini bukan sahaja membantu rakyat berbelanja dengan lebih berhemah, malah memastikan harga barangan kekal stabil sepanjang musim perayaan.

Di samping kawalan harga dan bantuan kewangan, kerajaan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) turut menggalakkan kempen kesedaran berbelanja secara bijak melalui program advokasi dan Kempen Kesedaran Berbelanja Berhemah.

Kempen ini bertujuan mendidik pengguna supaya merancang kewangan dengan baik, mengelakkan pembelian impulsif dan memanfaatkan promosi serta diskaun yang ditawarkan. Dengan inisiatif ini, rakyat dapat menikmati sambutan Aidilfitri dengan lebih tenang tanpa terbeban dengan masalah kewangan.

Namun, peranan berjimat bukan hanya terletak pada kerajaan, tetapi juga memerlukan kesedaran pengguna. Menetapkan bajet realistik, mengutamakan keperluan berbanding kehendak serta berkongsi kos penyediaan makanan adalah antara langkah praktikal untuk mengurangkan perbelanjaan.

Alternatif seperti menggunakan dekorasi sedia ada dan memasak secara gotong-royong bukan sahaja menjimatkan, tetapi juga mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Tradisi kunjung-mengunjung yang semakin terhakis wajar dihidupkan semula, menekankan bahawa Aidilfitri lebih bermakna apabila diraikan dengan kebersamaan dan kesyukuran, bukan dengan perbelanjaan berlebihan.

Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi cerminan kesyukuran, kebersamaan dan kesederhanaan.

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, berbelanja secara berhemah bukanlah kekangan, tetapi peluang untuk lebih menghargai dan berkongsi kegembiraan dengan cara yang bermakna.

Meraikannya dengan sederhana dan penuh kasih sayang bukan sahaja meringankan beban kewangan, tetapi juga menghidupkan semula semangat Aidilfitri yang sebenar iaitu ikhlas, berkat dan penuh kesyukuran.-UTUSAN

PROFESSOR Madya Dr. Khairunesa Isa ialah pensyarah di Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×