SEOUL: Jumlah kematian akibat kebakaran hutan terburuk di wilayah tenggara Korea Selatan kini meningkat kepada 18 orang.
Lebih 24 kebakaran berbeza tercetus pada hujung minggu, dengan jumlah kematian meningkat pada malam berikutnya apabila salah satu kebakaran besar memusnahkan kampung dan sebuah kuil bersejarah.
Kerajaan meningkatkan amaran krisis ke tahap tertinggi dan mengisytiharkan tindak balas negara secara besar-besaran untuk mengawal kebakaran tersebut.
“Sebanyak 18 orang meninggal dunia dalam kebakaran hutan itu.
“Selain itu, enam orang cedera parah dan 13 lagi mengalami kecederaan ringan,” kata seorang pegawai kementerian keselamatan kepada AFP.
Cuaca kering dan berangin menghalang usaha untuk mengawal kebakaran, dengan kerajaan mengambil langkah memindahkan ribuan banduan dari pusat tahanan di daerah terjejas.
Semalam, pihak berkuasa mengeluarkan amaran kecemasan untuk Kampung Rakyat Hahoe – tapak warisan dunia yang tersenarai UNESCO dan popular dalam kalangan pelancong – berikutan kebakaran semakin merebak.
“Kebakaran hutan selama lima hari berturut-turut di Ulsan dan wilayah Gyeongsang sedang menyebabkan kerosakan tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata pemangku Presiden Korea Selatan, Han Duck-soo.
Beliau dalam mesyuarat keselamatan dan bencana berkata, kebakaran itu merebak melebihi model ramalan sedia ada dan jangkaan sebelumnya.
Pihak berkuasa melancarkan pemindahan kecemasan pada petang semalam, namun kematian masih tidak dapat dielakkan.
“Sepanjang malam, gangguan berterusan apabila talian elektrik dan komunikasi terputus di beberapa kawasan selain jalan disekat,” katanya.
Ribuan anggota bomba dikerahkan, tetapi angin kencang mencapai kelajuan 25 meter sesaat dari petang semalam, memaksa penangguhan operasi helikopter dan dron, kata Duck-soo.
“Perubahan arah angin yang sentiasa tidak menentu dan amaran cuaca kering berterusan mengehadkan usaha pemadaman kebakaran konvensional,” katanya.– AFP











