RAMALLAH: Pengarah bersama filem dokumentari, No Other Land, yang memenangi Anugerah Oscar baru-baru ini, dibebaskan selepas ditahan oleh tentera Israel susulan serangan peneroka haram Yahudi di Tebing Barat.
Dalam hantaran di platform media sosial X semalam, rakan pengarahnya, Yuval Abraham berkata, Hamdan Ballal kini dibebaskan dan pulang ke rumah keluarga setelah digari sepanjang malam serta dipukul di pangkalan tentera.
Menurut agensi berita Associated Press, Ballal bersama dua rakyat Palestin lain meninggalkan balai polis di penempatan haram Israel Kiryat Arba di Tebing Barat.
Menurut laporan, Ballal mengalami lebam pada muka dan terdapat kesan darah pada pakaiannya serta dipaksa tidur di bawah penghawa dingin sejuk di pangkalan tentera.
Peguam yang mewakili Ballal dan dua lelaki Palestin lain, Lea Tsemel berkata, mereka hanya menerima rawatan biasa terhadap kecederaan akibat serangan itu dan beliau tidak dibenarkan mengakses anak guam selama beberapa jam selepas mereka ditangkap.
Ballal bersama pengarah lain memenangi kategori Dokumentari Terbaik pada Anugerah Akademi ke-97 di Los Angeles menerusi filem tersebut yang menampilkan kisah perjuangan rakyat Palestin di bawah penjajahan Israel.
Serangan terhadap Ballal berlaku pada malam Isnin ketika sekumpulan peneroka haram Yahudi, sebahagiannya bertopeng dan membawa senjata menyerbu perkampungan Susiya di Tebing Barat.
Penduduk memberitahu, tentera Israel yang tiba di lokasi kejadian tidak menghalang serangan tersebut, sebaliknya mengacukan senjata ke arah rakyat Palestin, manakala peneroka haram terus membaling batu.
Sementara itu, Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International, mengutuk serangan tersebut dan menuntut keadilan terhadap pelaku yang bertanggungjawab.
“Hamdan Ballal diculik oleh tentera Israel selepas diserang peneroka haram Israel. Dia kini telah dibebaskan, tetapi penyerangnya mesti dibawa ke muka pengadilan,” kata badan itu dalam satu hantaran di X.
Tentera Israel pada Isnin mendakwa mereka telah menahan tiga rakyat Palestin yang disyaki membaling batu ke arah pasukan keselamatan, serta seorang peneroka haram Yahudi yang terlibat dalam ‘konfrontasi ganas’.- AL JAZEERA










