ISTANBUL: Pergolakan di Turkiye semakin memuncak selepas ribuan pelajar membanjiri jalan-jalan utama di ibu negara dalam protes terbaharu susulan penahanan Datuk Bandar Istanbul yang mencetuskan gelombang bantahan terburuk di negara itu.
Demonstrasi bermula selepas penahanan Ekrem Imamoglu pada 19 Mac lalu.
Sejak itu, protes dan perhimpunan bantahan merebak ke sekurang-kurangnya 55 daripada 81 wilayah di Turkiye, mencetuskan pertembungan dengan polis rusuhan serta menarik kecaman antarabangsa.
Polis dilaporkan sudah menahan lebih 1,130 orang dalam tempoh enam hari lalu, termasuk 43 orang pada malam Isnin, menurut menteri dalam negeri.
Antara yang ditahan termasuk tiga wartawan dan seorang jurugambar AFP.
Imamoglu, 53, dari parti pembangkang CHP, dilihat sebagai satu-satunya ahli politik yang berpotensi mengalahkan Presiden, Recep Tayyip Erdogan dalam pilihan raya akan datang.
Dalam tempoh hanya empat hari, beliau berubah daripada seorang Datuk Bandar kepada seorang banduan, selepas didakwa atas tuduhan rasuah, membantu Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan mengetuai sebuah organisasi jenayah.
Susulan penahanannya, beliau bukan sahaja dipenjara tetapi juga diharamkan daripada terus memegang jawatan Datuk Bandar Istanbul.
Ratusan ribu pelajar di Istanbul dan Ankara mula berhimpun sejak awal petang selepas mengumumkan mereka memboikot kuliah di universiti utama di kedua-dua bandar.
Di Istanbul, ribuan pelajar berarak sambil melaungkan slogan dan mengibarkan bendera menuju ke Besiktas, sebuah pelabuhan di Bosphorus.
Penduduk setempat bersorak dan mengetuk periuk sebagai tanda sokongan, menurut wartawan AFP yang membuat liputan.
Ada penunjuk perasaan yang mengangkat sepanduk besar sebagai mesej kepada Erdogan yang tertulis ‘Istana milik kamu, jalanan milik kami’.
Ketua Parti CHP, Ozgur Ozel ketika berucap di hadapan ribuan penunjuk perasaan berkata, protes yang berlangsung bukan sekadar perhimpunan tetapi penentangan terhadap fasisme.
PROTES JEJAS LIRA
Selepas bermesyuarat dengan kabinetnya semalam, Erdogan sekali lagi menuduh pihak pembangkang mencetuskan protes dan cuba menghuru-harakan negara.
“Berhenti bermain dengan emosi rakyat,” katanya, sambil menegaskan bahawa segala-galanya berada dalam kawalan, termasuk ekonomi Turkiye.
Beliau turut menegaskan kerajaan telah berusaha menguruskan turun naik pasaran yang lalu dengan jayanya.
Namun tindakan terhadap Imamoglu dilihat memberi kesan buruk kepada lira dan menyebabkan kekacauan dalam pasaran kewangan Turkiye.
Indeks penanda aras BIST 100 ditutup hampir 8.0 peratus lebih rendah pada hari Jumaat tetapi pulih sedikit pada hari Isnin, menamatkan sesi sekitar 3.0 peratus lebih tinggi.
Kerajaan Turkiye menafikan bahawa penangkapan Imamoglu bermotifkan politik, sambil menegaskan bahawa mahkamah negara itu bebas.
Pada Ahad, Imamoglu ditahan di Penjara Silivri di pinggir Istanbul sementara menunggu perbicaraan atas tuduhan rasuah yang dinafikannya.
Tuduhan tambahan berkaitan keganasan ditangguhkan buat masa ini.
Pada hari yang sama, beliau dipilih secara besar-besaran sebagai calon CHP untuk Pilihan Raya Presiden 2028 dengan kira-kira 15 juta orang membuang undi sebagai tanda sokongan terhadapnya.
Pemerhati mengatakan pemilihan utama yang semakin hampir itulah yang mencetuskan tindakan terhadapnya.
Tindakan terhadap Imamoglu mendapat kecaman keras dari Jerman yang menyifatkannya sama sekali tidak boleh diterima manakala jiran Turkiye, Greece berkata, apa yang dilakukan terhadapnya menjejaskan kebebasan awam.
Kesatuan Eropah (EU) turut memberi amaran kepada Ankara supaya menunjukkan komitmen yang jelas terhadap norma-norma demokrasi.
Kementerian Luar Perancis turut mendakwa penahanan Imamoglu adalah serangan serius terhadap demokrasi.










