KOTA BHARU: Ketika dirinya yang kritikal akibat Covid-19 disorong masuk ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), pendakwah muda dan pengasas Pondok Raudhatul Sakinah, Ustaz Azil ditanyakan soalan yang membuatkannya terkedu.

“Sebelum masuk ICU ni, ustaz ada nak pesan apa kepada keluarga? Saya boleh tolong sampaikan,” demikian soalan itu, menjadikan Ustaz Azil, 34, atau nama sebenarnya Mohd. Azil Yaacob kelu lidah dan sebak kerana sudah terbayangkan kematian.
“Kalau orang lain mungkin boleh tinggalkan pesan kepada isteri dan anak-anak, saya tidak ada siapa kerana masih bujang. Hakikat itu buat saya bertambah sedih namun reda dengan apa sahaja ketentuan Allah SWT.
“Saya minta doktor sampaikan pesanan supaya keluarga dan sahabat teruskan usaha kami membina masjid dan sekolah pondok di Tanjung Mas. Masjid sudah 95 peratus siap, sekolah pondok pula akan mula dibina selepas raya,” katanya.
Berkongsi lanjut pengalaman dilaluinya pada penghujung Januari lalu itu kepada Utusan Malaysia, Mohd. Azil berkata, akibat serangan Covid-19, hidupnya berubah sekelip mata sehingga terpaksa bertarung nyawa di ICU selama dua minggu.
Mohd. Azil pada mulanya mengadu mengalami kesukaran bernafas dan sebaik sahaja dirinya disahkan positif Covid-19 tahap 4 kira-kira pukul 10 malam, beliau serta-merta dibawa masuk ke wad oleh petugas hospital yang memakai peralatan perlindungan diri (PPE).
“Beberapa jam kemudian iaitu sekitar pukul 2 pagi, keadaan saya bertambah kritikal kerana paru-paru mula dijangkiti kuman dan perlu segera dimasukkan ke ICU. Doktor kata saya masih ada peluang kerana faktor usia muda.
“Saya cuba tenangkan hati dengan cara perbanyakkan zikir dan doa kepada Allah SWT. Perasaan ketika itu bercampur-baur. Takut ada, sedih ada, terkilan pun ada kerana tidak ada peluang bertemu ahli keluarga langsung. Terus masuk ICU,” katanya.
Menurut Mohd. Azil, selama dua minggu ditempatkan di ICU, beliau satu-satunya pesakit yang masih sedar dan mampu bercakap manakala pesakit lain silih berganti dengan setiap satu berakhir dengan kematian.
Beliau juga menjadi saksi kepada ketabahan para doktor dan jururawat yang bertungkus lumus cuba menyelamatkan nyawa para pesakit Covid-19 kategori kritikal yang rata-ratanya merupakan warga emas.
“Jika jururawat masuk dan kemaskan katil sebelah, saya sudah tahu ada kematian dan Allah SWT sahaja yang tahu perasaan sedih melihat jenazah pesakit di sebelah saya dibawa keluar oleh petugas yang berpakaian PPE,” katanya.
Mohd. Azil bersyukur kerana nyawanya masih panjang dan menganggap pengalaman itu ‘dipinjamkan’ Allah SWT seketika untuk beliau merasai sendiri betapa ancaman Covid-19 itu wujud sebelum berkongsikan perkara itu kepada masyarakat.
“Ketika saya dijangkiti Covid-19 Januari lalu, Kelantan berada dalam PKP kali kedua. Saya sentiasa amalkan SOP, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sudah lama tidak keluar rumah kerana kuliah agama dan aktiviti keagamaan tidak dibenarkan.
“Sampai sekarang doktor tidak tahu bagaimana saya boleh dijangkiti virus ini. Doktor juga hairan bagaimana keadaan saya boleh kritikal kerana saya tiada sejarah penyakit serius lain, di samping usia saya yang masih muda,” katanya.
Tambahnya, satu lagi perkara masih menimbulkan persoalan doktor, hanya beliau yang dijangkiti virus berkenaan manakala kesemua kontak rapat termasuk ahli keluarga dan para sahabatnya disahkan negatif. – UTUSAN ONLINE











