Kebakaran tanah gambut amat mudah terjadi namun kesannya sangat besar terhadap alam sekitar. Hanya dengan sepuntung rokok yang dibuang di dalam kawasan berkenaan boleh menyebabkan kebakaran yang sukar dikawal.
Malah, lebih memburukkan keadaan ia boleh membawa kepada kejadian jerebu yang akhirnya akan menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan masyarakat.
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berwajib untuk mengatasi permasalahan berkenaan seperti penanaman semula pokok serta pemantauan secara berkala bagi mencegah sebarang elemen yang bakal membawa kepada kebakaran hutan tersebut.
Merancakkan lagi kaedah pencegahan, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalinkan kerjasama dengan pusat penyelidikan dan pembangunan MIMOS Berhad (MIMOS) membangunkan sistem berasaskan Internet Segala Benda (IoT) yang mengesan amaran awal kebakaran hutan tanah gambut.
UPM melalui Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Rangkaian Tanpa Wayar dan Fotonik (WiPNET) menjalankan inovasi menggunakan sensor yang ditanam di Hutan Simpan Raja Musa, Kuala Selangor yang dapat mengesan suhu, kelembapan tanah serta paras air dalam tanah gambut.
Projek Komuniti Hutan Gambut ASEAN itu turut dijalankan dengan Institut Perhutanan Tropika dan Produk hutan (INTROP).

Penyelidik Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Dr. Aduwati Sali berkata, tiga parameter berkenaan dijadikan penanda aras bagi mengesan amaran awal sebarang kebarangkalian berlakunya kebakaran.
“Menggunakan IoT kita telah menetapkan kekerapan sensor untuk menghantar data setiap dua minit kepada dashboard (papan pemuka) untuk mengukur tiga parameter iaitu suhu, kelembapan tanah serta paras air dalam tanah.
“Data masa nyata itu akan terus di hantar kepada kita untuk dinilai. Terdapat juga menara tinjau berdekatan dilengkapi gerbang tanpa wayar yang berperanan mengumpul semua data daripada sensor,” katanya kepada Utusan Malaysia.
PENGHANTARAN MAKLUMAT
Proses penghantaran maklumat antara sensor dan gerbang tersebut menggunakan teknologi Long Range (LoRa) yang seterusnya akan mengumpulkan data untuk dianalisis bagi menghindari kebakaran.
Data berkenaan dapat diakses di pelbagai peranti sama ada termasuk peranti mudah alih bagi memudahkan pemantau dilakukan dari mana-mana sahaja.
Sekiranya bacaan paras didapati kritikal maklumat seterusnya akan disalurkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Global Environment Centre (GEC) dan komuniti setempat seperti Sahabat Hutan Gambut Selangor Utara untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Projek yang bermula sejak Julai 2018 ini dibiayai oleh Institut Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan Jepun (NICT) melibatkan kerjasama dengan dua buah lagi negara Asean iaitu Brunei dan Indonesia.
Tambah Aduwati, inovasi ini dapat meningkatkan lagi kecekapan pemantauan hutan paya gambut sedia ada dengan kekerapan data yang diperoleh dengan lebih kerap.
“Kalau dulu kawalan dilakukan secara in-situ menggunakan kaedah manual di mana renjer hutan atau pertubuhan bukan kerajaan (ngo) setempat akan pergi mengambil bacaan parameter di kawasan tanah gambut dalam kekerapan mungkin sekitar seminggu sekali.
“Kini, dengan adanya teknologi ini akan dapat membantu mereka untuk mengawasi dengan lebih mudah di mana-mana sahaja. Namun, kaedah manual masih juga digunakan kerana keduanya saling membantu,” jelasnya lagi.
Kumpul data tiga negara
Dalam pada itu, kerjasama yang terjalin antara tiga negara Asean iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia dapat meningkatkan sistem pemantauan di negara masing-masing.
Data mikro iklim di tanah gambut yang terkumpul dapat membantu penyelidik serta pihak-pihak berkepentingan mencipta pangkalan data yang berguna untuk kajian selanjutnya.
“Setidak-tidaknya kerjasama ini akan membolehkan tiga negara berjiran ini untuk memantau dan menghindari kebakaran tanah gambut dengan leboh kompeten agar dapat mengurangkan kebarangkalian ia berlaku pada masa akan datang.
“Kerana kita tahu selalunya jerebu yang berlaku di negara ini bukan hanya berpunca daripada dalam negara. Kebanyakan kes jerebu yang melanda negara berpunca daripada negara jiran iaitu Indonesia kerana lokasinya yang tidak jauh daripada kita,” kata Aduwati.









