Kekayaan lazimnya diukur dengan berapa jumlah harta yang dimiliki. Sebagai contoh, di Kedah, keluasan sawah padi yang dimiliki menjadi ukuran kekayaan seseorang atau di kawasan hulu negeri itu, berapa relung kebun getah yang ada.
Lebih 100 tahun dahulu, kekayaan diukur dengan berapa luas ladang gandum atau ladang ternakan. Oleh itu, suatu masa dahulu Argentina adalah antara negara terkaya di dunia.
Namun, keadaan hari ini amat berbeza. Bakat, teknologi dan ilmu adalah pengukur kepada kekayaan sesebuah negara. Sebuah negara yang mungkin tidak ada sumber tetapi mempunyai bakat yang unggul dapat melangkah maju ke hadapan.
Syarikat-syarikat teknologi khususnya yang mempunyai hubung kait dengan digital seperti Microsoft, Apple, Amazon, Alphabet, Facebook, Alibaba dan Tencent Holdings berada dalam kedudukan 10 syarikat terbesar di dunia berasaskan market cap atau permodalan pasaran.
Anda pasti pernah mendengar nama-nama seperti Jeff Bezos, Mark Zuckerberg dan Jack Ma. Ketiga-tiga individu ini menggunakan sepenuhnya digital untuk berdagang dan mengumpul kekayaan. Ramai lagi yang berjaya menjadi kaya raya disebabkan memiliki ilmu digital.
Pasaran e-dagang di dunia semakin besar. Produk atau perkhidmatan dapat menembusi pasaran tanpa mengira sempadan. Malah, pemasaran juga menjadi mudah dan murah. Jika dahulu pengiklanan melalui akhbar atau televisyen amat mahal tetapi kini melalui media sosial amat murah dan jika fasih dalam satu platform, ia boleh dilakukan secara percuma. Peranan media arus perdana semakin terhakis.
Keadaan ini menunjukkan betapa besar peranan digital dalam ekonomi negara. Maka kerajaan memperkenalkan inisiatif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 19 Februari lalu bagi memastikan agenda pendigitalan dapat digerakkan sepenuhnya dalam kalangan rakyat.
Inisiatif MyDIGITAL juga bertujuan merapatkan jurang yang semakin melebar. Golongan B40 akan terus tertinggal sekiranya tiada tindakan afirmatif tidak dilakukan segera oleh kerajaan. Mereka tidak mampu memiliki peranti dan juga melanggan data internet.
Golongan M40 dan T20 khususnya yang tinggal di bandar akan terus fasih digital kerana mereka mampu memiliki peranti dan kawasan kediamannya pula mendapat liputan internet yang berkualiti. Anak-anak B40 akan terus tertinggal dengan rakan-rakan mereka dari golongan M40 dan T20.
Pada 4 Februari lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turun padang untuk memantau masalah liputan internet di kawasan saya, iaitu Parlimen Jeli.
Berdasarkan tinjauan, terdapat sekurang-kurangnya 13 kawasan dalam Parlimen ini yang tidak mendapat liputan atau menghadapi masalah kualiti liputan yang teruk.
Saya percaya kawasan-kawasan lain khususnya di luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak juga menghadapi masalah hampir sama. Kelemahan infrastruktur mengakibatkan kesukaran menerima data internet di kawasan pedalaman yang menyebabkan pelajar ketinggalan dalam pembelajaran manakala golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana kehilangan peluang untuk meneroka pasaran global yang lebih luas.
PdPR
Selepas Hari Raya Aidilfitri ini, pelajar akan mula mengikuti kelas secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu. Masalah yang sering kali diperkatakan ini akan berulang lagi. B40 akan mengeluh tiada peranti ditambah tiada liputan internet. Bagi yang berkemampuan pula berhadapan dengan isu kualiti liputan tidak baik.
Justeru, pendemokrasian digital harus dilakukan segera bagi memastikan semua pihak mendapat hak saksama. Tidak ada yang tercicir.
MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Negara merupakan inisiatif besar untuk memastikan beberapa masalah yang dihadapi dapat diselesaikan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Namun, tumpuan kini ialah untuk memastikan pembangunan infrastruktur dapat dilaksanakan sepenuhnya dengan pantas di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam tempoh lima tahun. Malah, pelaksanaan talian mudah alih berkelajuan tinggi 5G untuk komersial yang sepatutnya siap dalam fasa kedua (2023-2025)
JENDELA dipercepatkan ke fasa pertama yang akan berakhir pada tahun depan.
Kerajaan memberi perhatian serius kepada perkara ini kerana tanpa infrastruktur, segala perancangan lain untuk merapatkan jurang digital tidak akan ke mana. Ia ibarat mempunyai kereta yang laju tetapi jalan raya masih sempit dan berlopak.
Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting bagi memastikan usaha pendigitalan dapat diselaraskan. Kebanyakan negeri sudah mempunyai badan khusus atau dasar digital. Sebagai contoh, kerajaan negeri Sarawak menubuhkan Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) bagi melaksanakan inisiatif pendigitalan yang ditubuhkan pada 2018. Negeri-negeri kecil seperti Melaka dan Perlis turut agresif dalam pendigitalan.
SKMM mendedahkan perbezaan kos pembinaan menara komunikasi dan struktur di atas bumbung yang amat besar, malah permit pihak berkuasa tempatan (PBT) juga berbeza. Hal-hal seperti ini perlu diselaraskan agar pembinaan infrastruktur dapat disegerakan bagi menyelesaikan masalah liputan.
Digital sudah menjadi sebahagian daripada hidup. Kerajaan juga mengiktiraf komunikasi sebagai utiliti ketiga negara yang membawa erti secara tidak langsung, internet harus dimiliki di setiap rumah.
Salah satu kejayaan China untuk menghapuskan kemiskinan ialah menggunakan digital dengan memastikan penembusan jalur lebar dan internet mudah alih berkelajuan tinggi ke seluruh kawasan kampung. Kita harus belajar.
Jurang-jurang yang wujud harus dirapatkan segera untuk memastikan negara tidak tertinggal dan dapat terus melangkah ke hadapan. Hari ini, digital bukan hanya sekadar teknologi tetapi ia adalah penjana ekonomi negara.
Tiga komponen yang disebutkan pada awal tulisan ini – bakat, teknologi dan ilmu amat penting bagi menggerakkan agenda pendigitalan. Kekayaan bukan lagi berapa relung sawah padi tetapi bagaimana hebatnya seseorang meneroka ‘ladang digital untuk bercucuk tanam.’ Seperti kata ahli matematik British, Clive Humby, “data adalah minyak baharu.”
DATUK Seri Mustapa Mohamed ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).











