JERANTUT: Dalam usianya yang sudah menjangkau 70 tahun, seorang warga emas yang cacat di bahagian lutut dan kedua-dua belah kakinya masih mampu berpuasa walaupun cuma bergerak menggunakan papan beroda di Felda Sungai Tekam di sini.
Anak saudaranya, Noor Izam Ahmad, 52, yang menjaga kebajikan warga emas orang kurang upaya (OKU), Bidin Ariffin berkata, setiap kali bulan Ramadan, bapa saudaranya itu tidak pernah tinggal puasa walaupun kadang-kadang dia mengalami gangguan kesihatan.
“Bapa saudara saya tidak pernah mengalami gangguan kesihatan sejak kanak-kanak sehingga usia masuk 60-an, tetapi dua tahun lalu dia mengalami penyakit darah tinggi dan cuma makan ubat yang diambil di klinik berdekatan.
“Tetapi ia tidak menghalangnya untuk tetap berpuasa pada bulan Ramadan kali ini. Dia memang kuat dan tabah menghadapinya kehidupannya,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini semalam.
Noor Izam berkata, bapa saudaranya cacat anggota di bahagian lutut, manakala kedua-dua kakinya membengkok sejak dilahirkan.
“Dia cuma diletakkan di atas papan beroda lalu saya menolak ke bilik air ketika membuang air, membersihkan diri dan duduk semula di ruang beranda rumah sepanjang hari dan dibawa ke tempat tidur pada sebelah malam,” katanya.
Ceritanya lagi, Bidin hanya boleh bercakap sepatah dua perkataan dan ketawa kecil, itu pun cuma dalam kalangan orang dikenali sahaja.
Noor Izam juga berharap ada pihak sudi membantu kebajikan bapa saudaranya memandangkan dia kini tiada pendapatan kerana terpaksa berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada Bidin.
“Walaupun bapa saudara menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300, pengurusan kebajikan dan keperluan peralatan seperti lampin pakai buang dan susu khas melebihi jumlah tersebut.
“Saya pula cuma mengharapkan wang gaji isteri sahaja untuk membiayai keperluan empat orang anak yang masih bersekolah iaitu kira-kira RM2,500 sebulan,” katanya.
Mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi Noor Izam di talian 0192456631 atau memasukkannya akaun Bank Simpanan Nasional nombor 0610541000057673 atas penerima Bidin Ariffin. – UTUSAN











