WASHINGTON: Pentadbiran Donald Trump merancang untuk mengimport telur dari Turkiye dan Korea Selatan serta berunding dengan beberapa negara lain, dalam usaha menstabilkan harga telur di Amerika Syarikat (AS) yang kini berada di paras tertinggi.
Langkah itu susulan pengumuman pentadbiran mengenai rancangan AS$1 bilion (RM4.42 bilion) untuk menangani wabak selesema burung yang semakin buruk, memaksa petani di AS memusnahkan berpuluh juta ayam.
Walaupun kempen Presiden Donald Trump berjanji untuk menurunkan harga barangan, kos telur kekal meningkat lebih 65 peratus sepanjang tahun lalu dan dijangka naik lagi sebanyak 41 peratus pada 2025.
Setiausaha Pertanian, Brooke Rollins berkata, jabatannya sedang berbincang dengan negara lain untuk mendapatkan bekalan baharu, namun tidak mengulas secara lanjut.
“Apabila populasi ayam semakin stabil dan industri pengeluaran telur beroperasi semula sepenuhnya, diharapkan dalam beberapa bulan akan datang kita akan beralih kembali kepada sumber dalaman dan mengedarkan telur ke pasaran tempatan,” katanya.
Persatuan penternakan ayam di Poland dan Lithuania turut mengesahkan dihubungi oleh kedutaan AS mengenai kemungkinan mengeksport telur ke Amerika, lapor AFP.
Februari lalu, Jabatan Pertanian AS memperkenalkan lima langkah bernilai AS$1 bilion untuk menangani kenaikan harga telur, termasuk peruntukan AS$500 juta (RM2.2 bilion) bagi langkah biosekuriti, kira-kira AS$100 juta (RM442 juta) untuk penyelidikan dan pembangunan vaksin serta AS$400 juta (RM1.7 bilion) bagi program bantuan kewangan kepada petani.
Pentadbiran Trump juga mengumumkan ladang telur komersial akan menerima khidmat rundingan dan amalan terbaik secara percuma, selain menanggung sehingga 75 peratus kos bagi menangani kelemahan untuk membantu mencegah penyebaran selesema burung.– BBC











