BERLIN: Jerman meluluskan pakej bantuan ketenteraan baharu bernilai 3 bilion euro (RM14.3 bilion) untuk Ukraine, hanya beberapa hari sebelum rundingan gencatan senjata terhad yang dirancang Amerika Syarikat (AS).
Bantuan tersebut akan digunakan untuk membekal peralatan pertahanan kepada Ukraine, termasuk peluru, dron, kenderaan berperisai dan sistem pertahanan udara dalam usaha membantu negara itu menangkis serangan Russia.
Kelulusan diberikan oleh Jawatankuasa Belanjawan Parlimen selepas peruntukan itu tertangguh selama beberapa bulan berikutan pertikaian dalam kerajaan campuran pimpinan Canselor Olaf Scholz yang bakal melepaskan jawatan.
Bagaimanapun, kelulusan terakhir terhadap pakej perbelanjaan besar yang turut melonggarkan peraturan hutang ketat Jerman bagi perbelanjaan pertahanan memberikan kerajaan lebih fleksibiliti dalam menangani isu itu.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dalam hantaran di platform X, merakamkan penghargaan kepada Jerman terhadap bantuan tersebut, yang sangat diperlukan untuk melindungi dan menyelamatkan nyawa rakyat negaranya.
Bantuan baharu itu adalah tambahan kepada 4 bilion euro (RM19 bilion) yang diperuntukkan dalam bajet Jerman untuk Ukraine bagi tahun 2025, selain peruntukan sebanyak 8.3 bilion euro (RM39.7 bilion) bagi tempoh 2026 hingga 2029.
Jurucakap kerajaan, Steffen Hebestreit berkata, pakej baharu itu akan merangkumi sistem pertahanan udara Iris-T buatan Jerman yang masih dalam proses pembinaan dan dijangka dihantar dalam tempoh dua tahun akan datang.
Setakat ini, Jerman merupakan pembekal bantuan ketenteraan kedua terbesar kepada Ukraine selepas AS, dengan jumlah sumbangan mencecah 28 bilion euro (RM133.9 bilion) sejak Russia melancarkan pencerobohan lebih tiga tahun lalu.- AFP











