“PADA Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (untuk hak dan yang batil).” (Surah al-Baqarah:185)
Surah tersebut jelas menunjukkan keakraban Ramadan dan al-Quran yang mempunyai pelbagai fadilat bagi umat Islam yang berpuasa apabila pada masa sama menjadikan kitab suci itu sebagai ibadah masing-masing.
Demikian juga kata ilmuan al-Quran, Ustaz Abdullah Azraie Zainal Abidin, 51, bahawa, baik secara tadabbur mahupun tadarus, membaca al-Quran sepanjang Ramadan ini adalah sangat mulia di sisi Allah SWT.
“Pahala membaca al-Quran sangat besar dan berlipat kali ganda. Setiap huruf yang dibaca akan mendapat ganjaran yang besar. Mereka mendapat satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan kepada 10 pahala. Ganjaran tersebut dilipatgandakan pada bulan yang penuh berkat ini.
“Apabila membaca al-Quran, seseorang itu akan lebih dekat dengan Allah SWT dan ia salah satu cara untuk memperbaiki hubungan dengan-Nya dan mendapatkan keberkatan serta rahmat-Nya,” katanya ketika ditemui di Pusat Pengajian Minhajul Abidin, Pendang, Kedah yang diasasnya hampir dua dekad lalu.
Beliau yang bertalaqqi dengan ilmuan al-Quran selama beberapa dekad sebelum membuka dua pusat pengajian tersebut memberitahu, selain itu kitab suci itu juga wajar menjadi petunjuk hidup bagi umat Muslim.
ABDULLAH AZRAIE ZAINAL ABIDIN
Kelulusan:
Pondok Derang, Pokok Sena, Kedah
Pondok Pattani, Thailand
Jawatan:
Pengasas Pusat Pengajian Minhajul Abidin, Pendang Kedah
“Kenapa kita tidak tadabbur al-Quran? Kitab ini bukan susah untuk difahami. Kita baca dan faham itu tadabbur. Besar fadilatnya kerana tadabbur membantu kita memahami konteks dan hikmah di sebalik setiap ayat, yang dapat diterapkan dalam kehidupan sehari-hari.
“Saya percaya apabila kita bertadabbur, Allah SWT akan naikkan darjat kita di sini-Nya. Walaupun pada mulanya, kita membaca dengan tidak begitu betul dan ada banyak kesalahan namun selepas itu kita perbaiki bacaan dan baca lagi, di situlah darjat kita menjadi semakin tinggi.
“Apatah lagi kita bertadabbur ketika bulan Ramadan mulia ini. Banyak pahala. Tolong, jangan biarkan Ramadan berlalu tanpa kita membaca dan mendalami al-Quran. Mudah-mudahan semangat tadabbur sepanjang Ramadan ini yang berlangsung pada 11 bulan lain,” katanya.
Menurut ilmuan al-Quran ini lagi, setiap umat Islam tidak seharusnya menjadikan alasan tidak lancar membaca al-Quran untuk tidak melaksanakan amalan ini.
“Menjelang kiamat ini, al-Quran akan dihilangkan bukan sahaja dari muka suratnya namun di ingatan kita. Saat itu sudah terlambat. Jangan jadikan alasan tidak tahu baca.
“Saya percaya hidayah itu adalah satu lintasan yang Allah SWT campakkan ke dalam hati manusia. Saya doa semua umat Islam memperoleh hidayah ini,” harapnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa ibu bapa perlu mendidik anak masing-masing mendalami dan membaca al-Quran pada usia kecil dalam usaha memastikan amalan membaca al-Quran menjadi salah satu rutin penting dalam kehidupan mereka.
“Namun jika ada yang terlambat (membaca dan mendalami al-Quran) jangan kesali kerana proses mempelajari kitab suci ini adalah sampai mati. Berilmu dengannya bermula dari kecil dan yang pasti, tidak ada waktu penamat,” jelas beliau. – UTUSAN









