Netumbo Nandi-Ndaitwah dilantik Presiden wanita pertama Namibia

Netumbo Nandi-Ndaitwah dilantik Presiden wanita pertama Namibia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WINDHOEK: Netumbo Nandi-Ndaitwah secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Presiden wanita pertama Namibia selepas memenangi pilihan raya tahun lalu, sekali gus mengekalkan cengkaman parti pemerintah selama 35 tahun di negara itu.

Nandi-Ndaitwah, 72, menjadi antara segelintir pemimpin wanita di benua Afrika selepas upacara angkat sumpah semalam, yang turut dihadiri ketua negara dari Angola, Afrika Selatan dan Tanzania.

Presiden sebelum ini, Nangolo Mbumba, 83, menyerahkan kuasa kepadanya dalam satu majlis yang diadakan sempena ulang tahun ke-35 kemerdekaan Namibia.

Dalam ucapan sulungnya, beliau mengakui kepentingan pemilihannya sebagai pemimpin wanita pertama, namun menegaskan rakyat memilihnya berdasarkan kelayakan dan keupayaan.

“Namibia mencatat banyak kemajuan sejak mencapai kemerdekaan, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan,” katanya.

Pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden selama setahun, Nandi-Ndaitwah merupakan veteran dalam Pertubuhan Rakyat Afrika Barat Daya (SWAPO), parti yang memimpin negara itu mencapai kemerdekaan daripada pemerintahan aparteid Afrika Selatan pada 1990.

Dalam pilihan raya November lalu yang berlangsung dalam keadaan huru-hara akibat kelemahan logistik, Nandi-Ndaitwah memperoleh 58 peratus undi, manakala pesaing utama dari parti pembangkang Patriot Bebas untuk Perubahan (IPC) hanya meraih 25.5 peratus undi.

Keputusan itu sekali gus menunjukkan kesetiaan rakyat Namibia terhadap SWAPO, walaupun parti pembebasan lain di selatan Afrika semakin kehilangan pengaruh.

Isu utama yang menjadi perhatian dalam pilihan raya lalu adalah peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan belia, dengan 44 peratus individu berusia 18 hingga 34 tahun tidak mempunyai pekerjaan pada 2023.

Nandi-Ndaitwah turut menyeru rakyat agar bersatu selepas perpecahan politik yang timbul ketika pilihan raya, di mana IPC cuba membatalkan keputusan melalui tindakan mahkamah tetapi gagal.

“Kita boleh berpolitik ketika kempen, tetapi apabila ia berakhir, kita perlu membina Namibia bersama-sama,” katanya.– AL JAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×