11 wanita antara mangsa sindiket penipuan di Myanmar

11 wanita antara mangsa sindiket penipuan di Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: 11 wanita hamil adalah antara lebih 2,400 mangsa yang diselamatkan daripada pusat sindiket penipuan di Myanmar dan kini memerlukan rawatan perubatan segera di Thailand.

Menurut penyelaras Rangkaian Masyarakat Sivil untuk Bantuan Mangsa Pemerdagangan Manusia, Jay Kritiya, 11 wanita itu ditahan di kem dengan keadaan hidup yang sukar, kekurangan penjagaan kesihatan dan makanan tidak mencukupi.

“Terdapat 12 wanita yang sedang hamil antara tiga hingga empat bulan. Namun, seorang daripada mereka mengalami keguguran dua hari lalu,” katanya kepada Reuters.

Thailand kini mengetuai usaha serantau bagi membanteras pusat penipuan yang beroperasi di sepanjang sempadan, yang menjadi sebahagian daripada rangkaian penipuan di Asia Tenggara.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sindiket itu menjana berbilion dolar setiap tahun dengan mempergunakan mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa bekerja dalam kegiatan penipuan dalam talian.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pihak berkuasa Thailand menyelaraskan usaha untuk membawa pulang 7,372 individu daripada kira-kira 20 negara yang menjadi mangsa operasi penipuan di Myanmar, dengan sebahagian besar dihantar pulang ke China.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Thailand pada Jumaat memaklumkan, lebih 2,400 orang masih lagi terkandas di sempadan dan menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Sementara itu, seorang pegawai kanan polis Thailand yang mengetuai operasi menentang sindiket penipuan di sempadan Thailand-Myanmar memberitahu Reuters dianggarkan 100,000 orang masih beroperasi dalam pusat penipuan di kawasan tersebut.

Siasatan awal mendapati ratusan individu yang diselamatkan setakat ini memasuki pusat berkenaan secara sukarela, namun terdapat juga mangsa yang diperdaya dan dipaksa bekerja oleh kumpulan jenayah terancang.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×