MALAYSIA, sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, etnik, agama, budaya dan bahasa serta mempunyai landskap sosial yang unik dan menarik.
Di tengah-tengah kepelbagaian ini, terdapat satu cabaran besar yang perlu dihadapi, iaitu bagaimana membentuk sikap saling memahami, menghormati, bertolak-ansur dan menerima perbezaan dalam kalangan generasi muda.
Beberapa hari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengingatkan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan bangsa boleh dielakkan jika semua pihak patuh dan komited mengamalkan prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain bagi membina sebuah negara yang bertamadun.
Pada pendirian saya, sejak usia muda, kanak-kanak Malaysia perlu dibimbing agar mereka dapat menghargai perbezaan yang wujud di sekeliling. Jika mahu menunggu sehingga mereka menjadi remaja atau dewasa untuk menerapkan nilai-nilai itu adalah sudah terlewat.
Bak kata orang tua-tua, melentur buluh biarlah dari rebung. Maka, ibu bapa sebagai pendidik utama di rumah memainkan peranan sangat penting dalam menjayakan usaha murni ini.
Ibu bapa adalah contoh atau suri teladan pertama yang dilihat dan ditiru oleh kanak-kanak. Oleh itu, sikap saling memahami dan bertoleransi perlu dimulakan di rumah.
Jika ibu bapa menunjukkan sikap positif terhadap kepelbagaian sama ada dalam konteks agama, keturunan atau budaya, maka begitu jugalah acuan anak mereka. Kanak-kanak akan belajar daripada pemerhatian.
Sebagai contoh, jika ibu bapa berinteraksi dengan jiran-jiran daripada pelbagai latar belakang dengan penuh hormat dan tanpa prejudis, anak-anak akan meniru tingkah laku ini.
Begitu juga, apabila ibu bapa melibatkan diri dalam aktiviti komuniti yang merangkumi pelbagai kaum dan etnik, tindakan ini akan mengajar anak-anak tentang nilai keharmonian dalam masyarakat majmuk.
Selain daripada itu, kita sebagai ibu bapa harus memberi perhatian kepada cara kita berbicara mengenai perbezaan. Sebagai contoh, kita wajib menghindari penggunaan kata-kata yang boleh mengguris perasaan kaum atau agama lain. Sebaliknya, kita boleh menggunakan pendekatan menghargai kepelbagaian dan menjadikan perbezaan tersebut sebagai satu kekuatan dimiliki komuniti itu.
Dengan cara ini, anak-anak akan belajar perbezaan bukan sesuatu yang harus dipandang negatif, sebaliknya perlu diraikan dan dihormati.
Satu lagi cara berkesan untuk membina sikap saling memahami adalah dengan menggalakkan anak-anak mempelajari budaya, bahasa dan adat resam komuniti lain.
Ibu bapa boleh membawa anak-anak mengunjungi rumah ibadat atau perayaan yang berbeza, seperti masjid, kuil, gereja, wat, gurdwara atau tokong, untuk memperkenalkan mereka kepada pelbagai tradisi keagamaan.
Kanak-kanak tidak perlu terlibat dalam upacara keagamaan, sebaliknya hanya menjadi pemerhati.
Ibu bapa juga boleh mendedahkan anak-anak kepada pelbagai jenis makanan tradisional yang melambangkan kepelbagaian budaya di Malaysia. Tidak dapat dinafikan, makanan adalah unsur penting yang menyatukan orang Malaysia.
Kita wajar memperkenalkan anak-anak kepada buku-buku atau filem yang mengisahkan kehidupan masyarakat pelbagai kaum. Buku cerita rakyat pelbagai etnik dan kaum di Malaysia memang banyak dalam pasaran.
Apabila golongan dewasa, khasnya ibu bapa, menyediakan ruang dan peluang yang melibatkan pembelajaran budaya seperti di atas, usaha ini bukan sahaja memperluas pengetahuan anak-anak, malah membuka mata mereka kepada keindahan dalam meraikan perbezaan.
Ibu bapa perlu ada ilmu untuk mampu menjawab pertanyaan anak-anak. Sebagai contoh, jika anak-anak mengajukan soalan tentang mengapa seseorang itu berbeza agama atau budaya, ibu bapa boleh menerangkan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk mempercayai dan mengamalkan kepercayaan mereka.
Manfaatkan peluang itu untuk mengajar anak-anak tentang konsep saling menghormati, meraikan kepelbagaian serta hak-hak yang dilindungi di bawah undang-undang serta Perlembagaan.
Dalam usaha membina masyarakat yang harmoni, penting juga menanamkan dalam hati anak-anak nilai keadilan dan kesaksamaan. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak setiap individu, tanpa mengira latar belakang berhak untuk diperlakukan dengan adil dan saksama.
Usaha ini boleh dimulakan dengan perkara-perkara kecil dalam kehidupan seharian seperti berkongsi permainan dengan adik-beradik, membantu rakan tanpa mengira kaum atau menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan tanpa melihat latar belakang mereka.
Kita sebagai ibu bapa boleh memberi penekanan tentang pentingnya mematuhi prinsip keadilan apabila berhadapan dengan situasi diskriminasi kaum, agama, jantina atau warna kulit.
Ibu bapa amat wajar mengajar anak-anak supaya menyuarakan bantahan jika melihat apa-apa bentuk ketidakadilan. Dengan menanamkan nilai-nilai ini sejak kecil, anak-anak akan lebih peka dan sensitif terhadap kepelbagaian serta mampu mengatasi cabaran dalam kehidupan bermasyarakat pada masa hadapan.
Satu lagi cara mudah membina masyarakat yang saling memahami adalah dengan memupuk perasaan empati dan kasih sayang dalam kalangan anak-anak.
Ibu bapa boleh mengajar anak-anak menaruh belas kasihan terhadap orang lain, terutamanya terhadap individu daripada latar belakang berbeza.
CONTOH KEHIDUPAN
Kita boleh menggunakan cerita atau contoh dalam kehidupan seharian untuk menunjukkan bagaimana empati dapat membawa kepada tindakan yang baik.
Sebagai contoh, apabila anak-anak melihat seseorang yang kelihatan kesunyian atau terpinggir, mereka boleh digalakkan untuk mendekati dan menawarkan bantuan, tanpa mengira perbezaan.
Perasaan empati ini bukan sahaja menguatkan ikatan antara individu tetapi juga membina bangsa Malaysia yang lebih bersatu padu.
Sesungguhnya, kepelbagaian adalah kekayaan yang perlu dihargai dan dipelihara. Membina sikap saling memahami dalam kalangan kanak-kanak adalah sangat penting memandangkan Malaysia sebagai sebuah negara yang penuh dengan pelbagai budaya, agama, adat dan kaum.
Kita sebagai ibu bapa memainkan peranan yang tidak boleh dipandang ringan dalam menjayakan usaha murni ini.
Melalui beberapa cara mudah yang disarankan di atas, kita mampu memastikan generasi muda Malaysia sedia menerima perbezaan, sentiasa meraikan kepelbagaian dan terus memupuk perpaduan.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










