GAZA: Hamas melancarkan serangan roket ke arah Israel semalam, sebagai tindak balas pertama terhadap serangan baharu rejim tersebut di Gaza yang memecahkan gencatan senjata selama dua bulan.
Israel menyambung semula operasi ketenteraan pada Selasa lalu, dengan melancarkan serangan udara ke atas wilayah berkenaan sebelum meneruskan serangan darat sehari kemudian.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, terdapat lebih 500 orang, termasuk 200 kanak-kanak, terbunuh sejak operasi baharu itu bermula.
Tentera Israel melaporkan, Hamas melancarkan tiga serangan roket ke tengah Israel, dengan satu berjaya dipintas dan dua lagi jatuh di kawasan terbuka tanpa menyebabkan sebarang kecederaan.
Sayap ketenteraan Hamas, Briged Al-Qassam mengesahkan serangan itu dan menyatakan mereka mengebom bandar Tel Aviv jauh di dalam wilayah jajahan dengan roket jenis M90 sebagai tindak balas terhadap serangan Israel.
Israel turut menjadi sasaran serangan peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi dari Yaman, sekali lagi sebagai tindak balas terhadap perang baharu di Gaza.
Bagaimanapun, tentera Israel menyatakan peluru berpandu itu berjaya dipintas.
Dalam perkembangan terkini, tentera Israel terus menggempur Gaza dengan serangan yang telah meragut sekurang-kurangnya 85 nyawa sejak awal pagi Khamis.
Kementerian Kesihatan Gaza menjangkakan angka korban meningkat kerana ramai masih terperangkap di bawah runtuhan.
Israel juga turut mengumumkan tenteranya telah menguasai semula Koridor Netzarim, sebuah laluan yang membahagi Gaza kepada dua bahagian, sekali gus memisahkan bandar Gaza dan utara wilayah itu daripada kawasan selatan yang bersempadan dengan Mesir. – AGENSI











