GAZA: Tentera Israel mengumuman pasukannya menyambung semula operasi darat di tengah dan selatan Semenanjung Gaza selepas serangan udara hari kedua membunuh sekurang-kurangnya 48 rakyat Palestin, menurut pekerja kesihatan tempatan.
Lapor Reuters, operasi darat baharu itu dilancarkan sehari selepas lebih 400 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara paling dahsyat sejak permulaan konflik pada Oktober 2023, sekali gus meranapkan perjanjian gencatan senjata yang sebahagian besarnya diadakan sejak Januari.
Tentera Israel berkata, operasinya meluaskan kawalan Israel ke atas Koridor Netzarim dan merupakan gerakan berfokus yang bertujuan mewujudkan zon penampan separa antara utara dan selatan wilayah itu.
Hamas berkata, operasi darat dan pencerobohan di Koridor Netzarim adalah pelanggaran baharu dan berbahaya terhadap perjanjian gencatan senjata yang sudah bertahan selama dua bulan.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu mengesahkan komitmennya terhadap perjanjian itu dan menyeru pengantara untuk memikul tanggungjawab mereka.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengesahkan serangan Israel membunuh seorang kakitangan asing dan mencederakan lima pekerja di tapak PBB di tengah Gaza City pada Rabu.
Kementerian Kesihatan Gaza mengaitkan kematian itu dengan Israel, tetapi rejim tersebut menafikannya, mendakwa mereka menyerang tapak Hamas yang dikesan sedang membuat persiapan untuk melancarkan serangan ke wilayah Israel.











