Pembatalan penempatan aniaya doktor

Pembatalan penempatan aniaya doktor

Kegagalan kelancaran pro­ses pengisian sistem e-penempatan itu telah menyusahkan banyak pihak termasuk mengganggu operasi fasiliti kesihatan awam khususnya membabitkan klinik dan hospital kerajaan luar bandar yang kini berdepan kekurangan tenaga kerja.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembatalan e-Penempatan membabitkan 2,245 pegawai perubatan telah menganiaya kumpulan doktor kontrak yang sepatutnya menerima lantikan tetap dengan dijadualkan pada 25 Mac ini.

Kegagalan kelancaran pro­ses pengisian sistem e-penempatan itu telah menyusahkan banyak pihak termasuk mengganggu operasi fasiliti kesihatan awam khususnya membabitkan klinik dan hospital kerajaan luar bandar yang kini berdepan kekurangan tenaga kerja.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak berkata, penangguhan untuk kali dua itu amat menyusahkan apabila menyebabkan ramai doktor kontrak yang telah bersedia untuk bekerja di lokasi ditetapkan gagal mendapat peluang pe­nempatan.

“Penangguhan in tidak sepatutnya berlaku kerana telah menyusahkan semua doktor yang terlibat. Kami menuntut Kementerian Kesihatan mengembalikan semula e-penempatan asal pada 27 Februari yang telah diisi oleh doktor kontrak tersebut.

“Ada di antara doktor yang terlibat terpaksa mengatur jadual dan perjalanan masing-masing bahkan melibatkan pengambilan cuti, tempahan hotel, tiket penerbangan dan lain-lain khususnya mereka yang bertugas di luar bandar kerana tiada liputan internet yang baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk kumpulan doktor kontrak melahirkan perasaan tidak puas hati tular di media sosial apabila pengisian e-penempatan dibatalkan saat akhir tanpa penjelasan.

Pada 27 Februari lalu, 2,245 doktor kontrak telah menjalani proses e-penempatan dan sepatutnya melapor diri ke Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) masing-masing.

Namun pada 6 Mac, mereka dimaklumkan bahawa ia dibatalkan tanpa sebarang penjelasan dan kemudian pada 17 Mac, sekali lagi diberitahu e-penempatan akan dijadual semula.

Kurang dua hari sebelum tarikh baharu, pada pukul 11.45 malam, kumpulan doktor kontrak tersebut menerima satu lagi emel yang menyatakan e-penempatan ditangguhkan lagi ke 25 hingga 27 Mac.

Selepas isu itu tular, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan bahawa sistem pemilihan penempatan pegawai perubatan sedia ada yang menggunakan kaedah ‘siapa cepat dia dapat’ akan digantikan dengan sistem lebih telus, adil, berasaskan merit dan memenuhi penawaran serta permintaan.

Sehubungan itu, katanya, tarikh permohonan baharu sistem e-penempatan yang dijadualkan pada 25, 26 dan 27 Mac ini dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh baharu.

“Selaras dengan itu, kami telah membincangkan, bukan setakat untuk kohort yang ada sekarang ini, tapi juga kita akan mengambil kira kumpulan seterusnya, yang sepatutnya pada Mei (lapor diri) itu juga kita akan anjakkan supaya ia lebih adil,” katanya.

Jurucakap HDK berkata, amat malang kepada kumpulan doktorkerana terpaksa membuat penjadualan semula supaya dapat mengulang proses e-penempatan sedangkan sepatutnya sudah diselesaikan.

“Kami hanya mahukan stabiliti, rasa hormat dan peluang untuk berkhidmat kepada negara tanpa gangguan yang berterusan.

“Buat masa ini belum ada perancangan berbincang dengan kementerian. Kami harap isu diselesai segera,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×