KABUL: Afghanistan dan Pakistan bersetuju untuk membuka semula lintasan sempadan utama selepas ia ditutup berikutan pertikaian mengenai pembinaan pos pemeriksaan, lapor TOLO News semalam.
Dewan Perniagaan dan Pelaburan Afghanistan berkata, pedagang dan ketua suku Afghanistan serta Pakistan mencapai persetujuan untuk membuka semula lintasan Torkham.
“Satu mesyuarat diadakan hari ini di Torkham antara kedua-dua pihak. Keputusan yang dicapai adalah positif, dan kemungkinan besar lintasan ini akan dibuka semula,” kata seorang peniaga.
Ahli majlis suku Pakistan, Jawad Hussain berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk menghentikan permusuhan dan menyambung semula perdagangan serta perjalanan di persimpangan sempadan penting itu, menurut Geo News.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, pemimpin suku di kedua-dua pihak bersetuju untuk menghentikan sementara pembinaan yang dipertikaikan oleh tentera Afghanistan.
Perkembangan berlaku selepas tentera sempadan Pakistan dan Afghanistan bersetuju untuk gencatan senjata selama dua hari di lintasan sempadan selepas beberapa minggu permusuhan berikutan penutupan pada 21 Februari.
Torkham adalah satu daripada 18 persimpangan antara kedua-dua negara jiran yang terlibat dalam pertikaian sempadan selama beberapa dekad, menyebabkan penutupan hubungan darat berlaku dengan kerap.- ANADOLU










