BACHOK: Seramai 58 anak yatim dan pelajar asnaf bersyukur kerana dipilih sebagai penerima lesen menunggang motosikal B2 secara percuma menerusi program amal korporat tahunan Akademi Memandu Amkist (Amkist) di sini, semalam.
Seorang penerima, Muhammad Faris Pauzi, 17, berkata, pemberian itu membantu meringankan bebannya kerana tidak perlu membayar caj antara RM350 hingga RM450 untuk menduduki ujian sekali gus mendapatkan lesen menunggang motosikal.
“Selepas ibu bapa berpisah, saya bersama tujuh adik beradik lain tinggal bersama datuk. Kos untuk mendapatkan lesen agak tinggi dan datuk tidak dapat menyediakan wang sebanyak itu kerana pendapatan sebagai buruh kampung hanya cukup menampung kehidupan harian sahaja.
“Dengan adanya lesen ini saya bukan sahaja boleh menunggang motosikal secara sah, malah membantu keluarga jika ada kecemasan,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi penerima, Che Nur Auni Emilie Jehalee, 17, berterima kasih kepada pihak terlibat yang memudahkan urusan golongan anak yatim dan pelajar asnaf untuk mendapatkan lesen memandu secara percuma.
Dia berharap usaha murni itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu lebih ramai golongan kurang berkemampuan memiliki lesen menunggang motosikal secara sah.
Sementara itu, Pengarah Urusan Amkist, Datin Noor Haslina Abdullah berkata, program tradisi itu adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat pihaknya membantu golongan kurang berkemampuan.
“2025 merupakan tahun kelima kami melaksanakan program ini melibatkan anak-anak yatim dan pelajar kurang berkemampuan dari Bachok dan Pasir Puteh,” ujarnya. – UTUSAN











