PETALING JAYA: Fiuu, peneraju platform teknologi kewangan (fintech) terkemuka di Asia Tenggara, menyasarkan pertumbuhan jumlah transaksi tahunan sebanyak 30 peratus pada tahun ini berbanding RM44 bilion yang dicatatkan pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eng Sheng Guan berkata, pertumbuhan luar biasa Fiuu daripada RM7 bilion pada 2018 kepada RM44 bilion pada 2024 mencerminkan inovasi berterusan yang menjadi tunjang kejayaan syarikat itu.
“Dengan memperkenalkan penyelesaian seperti Penyelesaian Pinjaman Visa dan platform pembayaran masa nyata, Fiuu menjadikan pengalaman pembayaran lebih mudah, pantas dan boleh diakses.
“Malah, kami turut menjadi perintis di Malaysia dengan memperkenalkan integrasi DuitNow merentasi e-dompet dan perbankan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, integrasi API tunggal yang diperkenalkan juga mempermudah proses onboarding pedagang sekali gus mengurangkan kerumitan operasi tanpa memerlukan kaedah pembelajaran yang kompleks.
Menurutnya, Fiuu bukan sahaja berjaya mengatasi pesaing, malah terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan pembayaran utama di Malaysia.
“Fiuu berkembang melangkaui Malaysia dengan kehadiran kukuh di Singapura, Filipina, Thailand, Indonesia, Taiwan, Hong Kong dan Vietnam, mengukuhkan peranannya dalam ekosistem pembayaran digital Asia Tenggara.
“Kini, dengan lebih 650 juta transaksi setahun dan lebih 100,000 sesi serentak pada waktu puncak, Fiuu membuktikan keupayaannya dalam memenuhi keperluan pasaran yang semakin meningkat.
“Fiuu juga menjadi pilihan utama pelbagai perniagaan, daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hingga syarikat multinasional, menjadikannya antara peneraju dalam dunia pembayaran digital,” katanya.
Setakat ini, kira-kira 70,000 pedagang dari pelbagai sektor seperti runcit, makanan dan minuman (F&B), pengangkutan, utiliti, fesyen, parkir, pengecasan kenderaan elektrik (EV), pasar digital serta pembayaran bil harian bergantung kepada penyelesaian holistik yang ditawarkan oleh Fiuu.
“Dengan lebih 1.8 juta transaksi sehari atau bersamaan lebih 50 juta transaksi sebulan, Fiuu menjadi tunjang utama dalam memastikan rakyat Malaysia menikmati pengalaman pembayaran digital yang lancar.
“Sama ada membeli-belah, menikmati hidangan di restoran atau menambah nilai e-dompet, Fiuu menawarkan kemudahan yang merangkumi setiap aspek kehidupan moden,” ujarnya.-UTUSAN










