BELGRADE: Lebih 300,000 penunjuk perasaan membanjiri ibu negara Serbia di Belgrade bagi menyertai demonstrasi antirasuah terbesar yang menggemparkan negara Balkan itu sejak beberapa bulan lalu.
Orang ramai memenuhi jalan sejauh hampir dua kilometer ke kawasan sekitar banguan Parlimen dan dataran utama pejalan kaki di ibu negara.
Gerakan itu dilaporkan tercetus selepas 15 orang terkorban dalam insiden bumbung runtuh di stesen kereta api di bandar Novi Sad, November lalu.
Runtuhan di Novi Sad membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan dan Presiden, Aleksandar Vucic dengan penunjuk perasaan menyalahkan rasuah dan pemotongan kos sebagai punca kehilangan nyawa dalam insiden itu.
Penunjuk perasaan percaya bencana itu melambangkan kegagalan lebih sedekad pemerintahan Parti Progresif pimpinan Vucic yang sebelum ini giat mengaitkan dirinya dengan projek pengubahsuaian stesen berkenaan.
Vucic berjanji akan melakukan perubahan tetapi enggan meletak jawatan, walaupun beberapa anggota Kabinet termasuk Perdana Menteri, Milos Vucevic memilih untuk berundur bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak.
“Kami hanya mahu sebuah negara yang berfungsi. Kami mahu institusi yang menjalankan tugas mereka dengan betul. Kami tidak kisah parti mana yang berkuasa.
“Tetapi kami memerlukan sebuah negara yang bekerja, bukan negara yang gagal memberikan keadilan selama lebih daripada empat bulan,” kata pelajar undang-undang, Jana Vasic kepada BBC.
Kerajaan melaporkan kehadiran seramai 107,000 orang, tetapi pemantau bebas menganggarkan jumlah sebenar mencecah 325,000, menjadikannya protes terbesar dalam sejarah Serbia.
Media Serbia melaporkan seramai 22 orang ditahan dan 56 lagi cedera ketika menyertai demonstrasi tersebut.











