RAMALLAH: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) membuka 130 pusat pendidikan sementara di seluruh Gaza, bagi membolehkan kira-kira 47,000 kanak-kanak meneruskan sesi pembelajaran.
Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini dalam kenyataan menegaskan bahawa pendidikan memberi harapan kepada kanak-kanak.
Beliau berkata, ia membantu mereka pulih dan beransur-ansur menyambung semula zaman kanak-kanak bagi mengatasi traumi yang dialami.
“Lebih daripada 270,000 kanak-kanak lelaki dan perempuan mendaftar dalam program pendidikan UNRWA.
“Mereka menerima pembelajaran asas dalam bahasa Arab, Inggeris, matematik dan sains,” katanya.
Lazzarini turut menegaskan, UNRWA kekal sebagai penyedia utama pembelajaran kecemasan dan sokongan psikososial di Gaza.
Walaupun pusat pendidikan dibuka semula, Lazzarini mengaku masih banyak cabaran yang perlu diatasi.
“Namun, perjalanan kita masih panjang untuk memastikan lebih ramai kanak-kanak kembali belajar,” katanya sambil menekankan kepentingan segera situasi itu.
Pemimpin PBB itu berkata, matlamat inisiatif itu adalah untuk mengelakkan pupusnya generasi kanak-kanak Palestin.
“Risikonya tinggi, tiada masa untuk dibazirkan,” katanya.
Sejak Oktober 2023, lebih daripada 48,500 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala hampir 112,000 lagi cedera dalam perang Israel.
Serangan yang memusnahkan Gaza itu dihenti sementara menerusi perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.
November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan dengan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berikutan perangnya ke atas Gaza.– AGENSI










