Biarkan akhbarku terus hidup!

Biarkan akhbarku terus hidup!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZAKI merenung arus deras. Suara air yang bergemuruh menuruni batu-batu yang kukuh itu seolah-olah sedang menggambarkan tentang hatinya yang sedang kalut bergelut sesama sendiri.

Sehelai surat kumal dari pejabat terlepas daripada genggamannya. Surat yang kelesuan itu berputar-putar seketika di permukaan jeram sebelum hilang diheret jauh oleh arus deras.

Sudah hampir seminggu dia duduk tercatuk di tepi jeram merenung kehidupan yang semakin lelah. Saban waktu, dia dihimpit dengan pelbagai persoalan mengenai kehidupan anak-anak dan isterinya. Adakah dirinya seperti surat kumal itu yang hanyut entah ke mana? Apakah dirinya seperti sungai itu yang tidak terlepas daripada arus takdir? Jeram tetap di situ. Masih jua bergemuruh. Peluru yang disasarkan untuk dirinya sudah menembusi dada kirinya. Segalanya pedih dan sakit. Dan segalanya bukan lagi mimpi ngeri yang berulang kali tertampang dalam tidurnya.

Zaki duduk menyandarkan diri pada dinding simen yang sejuk dan beku. Seperti mana otaknya kini lebih kepada membeku tanpa mahu berfikir. Dia masih ingat ketika surat itu ditunjukkan kepada isterinya, ada air mata jernih yang semakin mengalir laju di pipi isterinya. Dua hari isterinya hanya membisu dan termenung. Dua hari jugalah dia hanya tidur di atas sofa di ruang tamu kerana tidak betah menyaksikan kesedihan melampau yang dialami oleh isterinya. Kini, giliran dia pula menghadapi situasi yang sama seperti mana yang dilalui oleh isterinya itu.

Ingatan terhadap rakan-rakan yang sama-sama mendapat khabar buruk itu kembali terpahat di lubuk fikirannya. Ada di antara mereka terduduk tatkala mendapat perkhabaran duka itu. Ada rakan-rakannya termenung tanpa kata. Dan ada juga tersandar seperti dirinya. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Waktu itu tidak ada orang awam yang bersimpati dengan nasib sedih yang menimpa diri Zaki dan rakan-rakannya.

Dan esoknya tertera perkataan ‘Akhbar ini bakal ditutup’. Perkataan besar dan hitam itu benar-benar memalitkan cebisan warna gelap dalam hidup dia dan rakan-rakan yang lainnya.

Malah kerana perkataan itu juga dia langsung tiada selera makan beberapa hari. Hendak minum air juga dia tidak sanggup apatah lagi untuk mengisi temboloknya yang sudah beberapa hari tidak menjamah makanan. Untuk tidur juga dia tidak berani. Acapkali dia bermimpi ngeri dan kadang-kala dia terbangun dari tidur dengan lelehan air mata yang berjuraian di pipi.

“Apa yang perlu kita lakukan sekarang? Tidak ada cara lain lagikah? Kalau tutup bererti pintu rezeki kita akan tertutup juga.” keluh Borhan tanpa malu. Beberapa pasang mata hanya menjadi pendengar setia tanpa memberikan komen. Pada saat itu sudah pastinya tidak ada kata-kata dapat diluahkan. Hanya diam dan akur sahaja yang menebal di benak fikiran.

“Ini semua kerana kecanggihan teknologi moden! Tanpa banyak halangan kita menerimanya dengan tangan terbuka. Nah! Kini pihak kita pula yang gulung tikar. Sepatutnya, semakin canggih teknologi itu maka semakin bermanfaat. Ini tidak, kita pula habis dibinasakan begitu sahaja.” Herman yang duduk bersila di bilik rehat itu pula mula membuka hujahnya.

Mendengarkan kata-kata Herman membuatkan Zaki tergumam. Terlintas di fikirannya tentang penutupan beberapa syarikat buku yang pada suatu ketika dahulunya sangat gah. Teknologi dalam industri percetakan juga antara penyebab kemerosotan industri percetakan. Teknologi percetakan kini berubah kepada digital yang lebih moden, mudah dan mampu mencetak dalam kualiti yang baik. Perubahan cita rasa pengguna menggunakan teknologi ini disebabkan keupayaan mencetak pada kadar minimum dengan harga yang lebih murah. Kajian rentas yang dilakukan terhadap ahli-ahli PPPMM, hampir 100 peratus masih menggunakan teknologi konvensional yang berupaya mencetak pada skala yang besar sahaja. Romano F. (2008) menjelaskan 11 sebahagian besar pengguna kini lebih terarah menempah cetakan pada kadar sedikit dengan harga yang murah.

Maklumat di atas Zaki peroleh daripada bacaannya tanpa perasaan curiga. Tidak terlintas di benak fikiran Zaki bahawa di suatu hari nanti tempat dia bekerja akan turut menerima nasib sama seperti syarikat yang lainnya.

“Kita juga yang membunuh akhbar kita sendiri. Dengan pantas tanpa berfikir segala macam berita tidak lagi perlu disalurkan dalam akhbar. Dalam masa tidak sampai satu minit, semua berita sudah tular di merata-rata tempat. Ada yang sanggup menjadi wartawan yang tidak bertauliah dan dibayar gaji. Justeru bagaimana akhbar kita boleh terus berhadapan dengan situasi seperti ini?” celah Borhan secara tiba-tiba.

Zaki dan beberapa orang rakannya hanya menjadi pendengar setia tanpa mahu mencelah. Setidak-tidaknya ada juga yang mahu menjadi penyelamat barangkali.
“Barangkali kawan-kawan masih ingat tentang bagaimana kuasa teknologi dan gajet ini bermaharajalela. Kalau lupa biar aku ingatkan. Industri muzik tempatan turut berada pada tahap kritikal berikutan kemunculan laman web yang menyediakan pautan muat turun lagu atau album secara percuma kepada orang ramai. Justeru, isu jualan album pada masa kini mengalami kemerosotan mendadak.

Jika dahulu jualan album di pasaran kini hanya mencecah jualan tidak kurang 10,000 unit berbanding pada era 90-an dengan kebanyakan album mampu terjual sebanyak ratusan ribu unit. Kalau masih ingat, syarikat rakaman yang menjual pita rakaman menjadi syarikat pertama yang mengalami nasib seperti kita.”

Borhan masih terus berhujah. Kening Zaki berlaga-laga sesama sendiri. Kesemua yang diujarkan oleh Borhan itu benar belaka. Kesakitan dan kesengsaraan syarikat rakaman itu mula terasa apabila kemasukan teknologi telefon pintar dan sebagainya. Bahkan, ia dianggap zaman gelap tatkala semua pita rakaman artis tempatan terkubur begitu sahaja tanpa dibeli oleh mana-mana pihak. Kini zaman gelap itu turut tersebar kepada rumah-rumah penerbitan yang lainnya.

Akhirnya hujah demi hujah itu dibiarkan begitu sahaja. Namun masih ada bara yang merah dalam setiap hati rakan-rakan Zaki. Zaki juga begitu.

Malam itu tatkala hujan turun dengan lebatnya di luar rumah. Zaki duduk di kerusi malas sambil mencatatkan sesuatu. Hujan malam itu menyebabkan kedinginan semakin bercambah malah kerana kedinginan itu juga membuatkan hati Zaki dijentik perasaan sayu dan hiba. Kertas-kertas kumal yang tertera angka terbaring lesu di atas meja tanpa disentuh oleh Zaki. Otak Zaki ligat berfikir tentang perbelanjaan rumah yang semakin meningkat dan menjadi hutang di atas bahunya kini. Air mata semakin bertakung di tubir kelopak mata. Memikirkan tentang masalah yang semakin meruncing menyebabkan jiwanya semakin tertekan. Sudah hampir tiga bulan dia serta rakan-rakan di tempat kerjanya tidak dibayar gaji. Dan kerana itu dia kini hampir-hampir keputusan wang.

Segala wang simpanannya sudah habis dikeluarkan dari bank. Dengan wang itu dia masih mampu menyara kehidupan isteri serta tiga anaknya yang masih kecil. Malah kerana wang sedikit itu dia masih cuba berjimat sehingga ke titisan darah yang terakhir. Namun untuk kali ini dia tidak mampu bertahan lagi. Zaki makin tertekan.

Seingat Zaki wang simpanan itu untuk kegunaan pendidikan anak-anaknya. Mujur juga dia beringat sejak dulu lagi. Jika tidak sudah pasti nasibnya akan sama dengan rakan-rakannya. Melalui cerita Nazir dia mendapat tahu ada di antara rakannya meminjam wang daripada ahli keluarga. Ada juga berniaga kecil-kecilan pada sebelah malamnya. Semua yang dilakukan untuk kelangsungan hidup anak isteri masing-masing.

“Abang…”

Serta-merta ingatan Zaki kembali bertapak di bumi yang nyata. Dia lekas-lekas mengerling ke arah isterinya yang sedang berjalan menuju ke arahnya dengan membawa tin susu yang tidak bertutup.

“Kenapa, Yah?”

Isterinya tidak menjawab. Sebaliknya menunjukkan bekas tin susu anaknya yang berumur dua tahun itu kepada Zaki. Dari dalam tin itu Zaki melihat hanya berbaki lagi dua skop sahaja susu yang tinggal. Zaki tersentak.

Tolong kami Ya Allah! Kasihanilah kami Ya Allah. Jangan kau bunuh akhbarku! Biarkan akhbarku terus hidup. Bisik hati Zaki sendu sekali gus berdoa agar syarikat tempat dia bekerja tidak terus ditutup.

“Abang, jika tidak cukup wang untuk membeli susu tak mengapa, abang. Yah boleh berikan apa-apa sahaja sebagai penganti susu untuk Adam. Mula-mula memang susah untuk Adam terima tetapi selepas sudah biasa, pasti Adam tidak menolaknya.”

Mendengar kata-kata isterinya membuatkan dia sebak. Terasa air mata semakin bertakung di pipi. Malah jiwanya turut hancur. Dia dapat merasakan bahawa kini dia gagal menjadi tunggak kepada keluarganya sendiri.

Beberapa hari lalu dia mendengar cerita Samad yang mengeluh kerana kehabisan makanan di rumah. Dia juga mendengar cerita sedih Leman yang mengeluh tentang perbelanjaan lampin pakai buang anaknya yang tidak mampu dibeli. Kemudian Zaki mendengar pula rintihan Alia rakan sekerjanya yang terpaksa berhutang. Dan kini dia pula menghadapi nasib yang sama seperti Alia.

Andai Zaki tidak kuat, sudah pasti dia akan meraung sekuat hati. Malah lebih teruk lagi dia akan menangis semahu-mahunya. Namun, keimanannya masih teguh.

“Tidak ada cara lain lagi. Kita semua mesti bermohon kepada Tuhan. Setidak-tidaknya kita masih ada Yang Maha Esa untuk kita sandarkan kesusahan dan kesedihan kita kepada-Nya,” ujar Leman tatkala itu.

Serta-merta kata-kata itu melekat kuat dalam hati Zaki. Zaki menoleh ke arah isterinya dengan pandangan sayu.
“Jangan risau, Yah. Abang akan usahakan. Sama-samalah kita berdoa.” Balas Zaki sambil menuju ke dalam bilik.

Zaki melangkah masuk ke dalam kamar mandi. Air matanya mengalir lesu di pipi. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu isterinya melihat kesedihan yang semakin bersarang di lubuk jiwanya. Usai puas melepaskan segala duka di situ, Zaki melangkah ke ruang bilik. Melihat anak-anaknya yang berumur enam sehingga dua tahun itu membuatkan hatinya diterjah rasa kepiluan.

Anak-anaknya tidak wajar disogokkan dengan kesusahan yang dialaminya. Begitu juga tatkala dia merenung wajah isterinya serta-merta timbul perasaan simpati yang semakin bermaharajalela di dalam hatinya. Dia segera melangkah keluar dari bilik lalu menuju ke ruang tamu.

Di situ Zaki menghamparkan sejadah dan memulakan solat hajat. Sebagaimana hamparan sejadah itu begitulah dia menadah tangan dan menghamparkan segala resahnya di situ. Lama Zaki mengadu segala-galanya kepada Tuhan Yang Maha Esa kerana kini dia tahu hanya Allah sahaja yang dapat membantu segala kepayahan dirinya di muka bumi ini.

Pagi yang cerah. Zaki berada di pejabat dengan hati tabah. Begitu juga rakan-rakan seperjuangannya. Namun dia merasa sedikit kelainan pada pagi itu.
“Pihak pengurusan syarikat penerbitan kita mengesahkan operasi syarikat tidak akan ditutup!” Laung Leman kuat.

Zaki terkejut. Dia tidak pasti sama ada dia boleh tersenyum atau pun tidak. Namun jauh di sudut hatinya dia melafazkan syukur kerana doa-doanya kini dimakbulkan oleh Yang Maha Esa. ‘Biarkan akhbarku terus hidup!’ Itu doanya selalu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×