Pekerja IT Korea Utara hadapi beban kerja teruk, diawasi 24 jam

Pekerja IT Korea Utara hadapi beban kerja teruk, diawasi 24 jam

PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong-un menghadiri sesi bergambar di Pyongyang.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Pekerja IT Korea Utara, yang dipaksa bekerja untuk rejim Kim Jong-un bagi menjana pendapatan haram, dipaksa bekerja di bawah pengawasan ketat dan tekanan melampau bagi mendapatkan gaji, menurut laporan organisasi hak asasi manusia.

Laporan Pscore, yang berpangkalan di Seoul, menegaskan pekerja IT Korea Utara harus diiktiraf sebagai mangsa pencabulan hak asasi manusia yang serius di bawah rejim Kim, dan bukan sekadar penyumbang kepada pendapatan haram negara itu.

“Penting untuk mengiktiraf pekerja IT ini sebagai mangsa agenda siber Korea Utara,” menurut laporan Pscore bertajuk Decoding Crimes: Unveiling North Korea Cyber Threats, yang dibentangkan semasa acara mengenai hak asasi manusia Korea Utara anjuran Kedutaan Kanada di Seoul, semalam.

Laporan itu memberi gambaran yang jarang berlaku tentang realiti menyedihkan bagi pekerja IT Korea Utara, berdasarkan temubual peribadi dengan pelarian yang pernah bekerja dalam bidang itu pada 2024.

“Pekerja mahir rejim ini juga dinafikan pelbagai hak kerana keadaan kerja dan hidup mereka yang tidak menentu,” kata penyelidik Pscore, Jasmin Ringel.

Laporan itu disokong oleh Dana Hak Asasi Manusia Kedutaan Kanada untuk Korea Utara sebagai sebahagian daripada usaha Kanada mempromosikan hak asasi manusia di negara itu.

Ia mendedahkan, pekerja IT Korea Utara biasanya bekerja lebih 10 jam sehari, terutama sepanjang malam, demi memenuhi permintaan pelanggan antarabangsa, menyebabkan kekurangan tidur dan jadual hidup tidak teratur.

Pekerja juga tinggal dalam ruangan sempit, dengan lima hingga enam orang daripada pasukan projek sama berkongsi bilik kecil.

Pergerakan mereka sangat terhad kerana hanya dibenarkan keluar seminggu sekali.

“Kami kurang tidur pada waktu siang dan kerana sistem kerja berlangsung pada waktu malam, kami menyiapkan tugasan melalui internet pada sebelah malam dan meneruskannya di sebelah siang,” kata bekas pekerja IT Korea Utara, Kang Ju-won.

Pekerja juga diwajibkan memenuhi kuota pendapatan bulanan yang ketat, ditetapkan oleh kerajaan Korea Utara, menurut laporan itu.

Kegagalan mencapai sasaran tersebut boleh menyebabkan mereka dihina secara terbuka dan mengalami gangguan psikologi yang teruk daripada ketua pasukan.

“Ada pekerja yang turut mengalami penderaan fizikal sebagai bentuk paksaan.

“Ancaman lisan dan pemantauan prestasi adalah perkara biasa, sehingga mewujudkan persekitaran kerja yang menyebabkan ramai pekerja mengalami trauma psikologi,” dakwa laporan itu.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×