EU kenakan tarif balas RM126b terhadap AS   

EU kenakan tarif balas RM126b terhadap AS   

PEMANDANGAN udara kontena perkapalan di Houston Port of Authority di Texas, AS.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) akan mengenakan tarif balas ke atas barangan Amerika Syarikat (AS) bernilai 26 bilion euro (RM125.66 billion) bermula bulan depan sebagai tindak balas terhadap tarif Washington ke atas keluli dan aluminium yang berkuat kuasa semalam.

Suruhanjaya Eropah (EC) turut mengumumkan akan menamatkan penggantungan tarif ke atas produk AS pada 1 April dan akan mengemukakan pakej langkah balas baharu menjelang pertengahan April.  

“Langkah ini sepadan dengan skala tarif ekonomi yang dikenakan oleh AS. Tindakan balas kami akan dilaksanakan dalam dua peringkat bermula 1 April dan berkuat kuasa sepenuhnya pada 13 April.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami bersedia untuk terlibat dalam dialog. Saya telah memberi mandat kepada Pesuruhjaya Perdagangan, Maros Sefcovic untuk menyambung semula rundingan bagi mencari penyelesaian yang lebih baik dengan AS,” kata Presiden EC, Ursula von der Leyen dalam kenyataannya.  

Kenaikan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium yang dikenakan Presiden AS, Donald Trump berkuat kuasa pada hari Rabu apabila pengecualian terdahulu melibatkan kuota bebas cukai dan pengecualian produk tamat.

Bagi Eropah, tarif baharu ini hampir empat kali ganda lebih besar berbanding tarif serupa yang dikenakan semasa penggal pertama Trump, di mana Washington menyasarkan hampir AS$7 billion (RM33.82 billion) eksport logam dari blok EU atas alasan keselamatan negara.  

“Sama seperti AS menjaga kepentingan mereka, begitu juga EU. Kami akan sentiasa melindungi perniagaan, pekerja dan pengguna Eropah daripada tarif yang tidak wajar kerana kami tahu mereka mengharapkan perkara itu daripada kami,” tegas Sefcovic.

Brussels sebelum memberi amaran akan bertindak balas dengan pantas dan setimpal terhadap sebarang tindakan AS. 

EU juga dilaporkan telah menyediakan senarai barangan dari AS, termasuk produk yang sensitif secara politik, yang bertujuan untuk memberi tekanan ekonomi lebih besar kepada Washington.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN