DOHA: Seorang pegawai kanan Hamas mengesahkan pusingan baharu rundingan gencatan senjata di Gaza bermula kelmarin di Doha, dengan pergerakan Palestin mendekati rundingan itu ‘secara positif dan bertanggungjawab’.
“Pusingan baharu rundingan gencatan senjata bermula hari ini (Selasa). Pergerakan kami menangani rundingan ini secara positif dan bertanggungjawab,” kata Abdul Rahman Shadid dalam satu kenyataan.
Israel juga menghantar pasukan perunding untuk perbincangan yang bertujuan melanjutkan gencatan senjata rapuh di Gaza, namun setakat ini tiada sebarang kenyataan mengenai rundingan tersebut dikeluarkan.
“Kami berharap pusingan rundingan kali ini membawa kemajuan ketara ke arah memulakan fasa kedua,” kata Abdul Rahman.
Beliau juga berharap agar utusan khas Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, Steve Witkoff, dapat membantu memulakan rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata itu.
“Pentadbiran AS bertanggungjawab kerana sokongannya yang tidak berbelah bahagi terhadap kerajaan penjajah (Israel),” katanya.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata selama 42 hari tamat pada awal Mac tanpa sebarang persetujuan mengenai peringkat seterusnya, yang bertujuan menamatkan perang secara kekal.
Terdapat perbezaan pandangan mengenai langkah seterusnya, dengan Hamas mahu rundingan segera bagi fasa kedua, manakala Israel ingin melanjutkan fasa pertama.
Hamas menuduh Israel mengingkari perjanjian gencatan senjata, dengan mendakwa negara haram itu enggan memulakan fasa kedua dan sengaja melengah-lengahkan rundingan.
Menjelang pusingan rundingan semasa, Israel menghentikan bekalan elektrik ke satu-satunya loji penyahgaraman Gaza, tindakan yang dikutuk Hamas sebagai tidak boleh diterima.
Israel juga menghentikan penghantaran bantuan ke Gaza berikutan kebuntuan dalam perjanjian gencatan senjata.
“Menafikan kemasukan makanan, ubat-ubatan, bahan api dan keperluan asas menyebabkan lonjakam harga makanan serta kekurangan bekalan perubatan, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza,” kata Hamas dalam kenyataan berasingan.
Fasa awal gencatan senjata dikendalikan oleh Qatar, Mesir dan AS bermula 19 Januari, yang membantu menggantung sementara perang selama lebih 15 bulan di Gaza, sehingga menyebabkan 2.4 juta penduduk hilang tempat tinggal.- AFP










