MANILA: Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte diterbangkan ke The Hague, Belanda bagi menghadapi pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan yang dikemukakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), kelmarin.
Duterte ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila pada pukul 10.40 malam Selasa lalu selepas Interpol cawangan Manila menerima waran tangkap rasmi daripada ICC berhubung kempen perang terhadap dadah semasa pentadbirannya.
Tidak sampai sejam kemudian, pesawat sewa khas yang membawa Duterte berlepas menuju ke The Hague.
Terdahulu, Presiden, Ferdinand Marcos Jr. dalam sidang media pada Selasa mengesahkan pesawat yang membawa Duterte berlepas pada pukul 11.03 malam (waktu tempatan).
“Pesawat kini dalam perjalanan ke The Hague, Belanda, bagi membolehkan bekas presiden menghadapi tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan berhubung kempen perangnya,” katanya.
Sebelum berlepas, Naib Presiden, Sara Duterte mendakwa bapanya sedang dibawa secara paksa ke The Hague.
Peguam Duterte turut memfailkan petisyen di Mahkamah Agung semalam, menuntut agar bekas pemimpin itu dihantar kembali ke Manila.
Petisyen yang difailkan bagi pihak anak bongsunya, Veronica, turut menuduh kerajaan melakukan ‘penculikan’ dan menuntut Duterte dibawa pulang segera.
ICC menuduh Duterte melakukan jenayah kemanusiaan berupa pembunuhan sepanjang kempen perang terhadap dadah yang dilancarkannya ketika memerintah Filipina pada 2016 hingga 2022.
Kumpulan hak asasi manusia menganggarkan puluhan ribu nyawa terkorban, kebanyakan lelaki daripada golongan miskin, tanpa perbicaraan atau bukti kukuh penglibatan mereka dalam kegiatan dadah.- AFP










