Pelajar, pensyarah Kolej Komuniti Selayang (KKSY) dan masyarakat setempat berganding bahu menyediakan bubur lambuk bagi juadah berbuka dan diagihkan kepada orang ramai, sempena program Rewang Ramadan Perdana KKSY, baru-baru ini.
Acara berkenaan diadakan bertujuan memperkuatkan ukhuwah dan silaturahim antara pelajar dan pensyarah, serta masyarakat setempat memasak bubur lambuk dan bersama-sama mengagihkan juadah itu kepada orang ramai.
Sejak pukul 9 pagi lagi masing-masing sibuk menyediakan ramuan dan mengacau bubur.
Berkat kesungguhan, bubur siap sekitar pukul 2 petang dan diagihkan kepada orang ramai.
Sebanyak 500 bungkus bubur lambuk dapat disediakan untuk pengagihan.
Program anjuran Unit Pengajian Am itu memberi peluang kepada sebahagian pelajar dan pensyarah menghayati semangat bergotong-royong dan ‘merewang’ sewaktu berpuasa di bulan Ramadan.
Program gotong-royong itu turut dimeriahkan dengan tazkirah ringkas oleh alumni KKSY, Ustaz Izmir Fareez Noorazlan bertajuk Andai Ini Ramadan terakhir.
Turut hadir Pengarah KKSY, Ts. Abdul Razak Sabtu dan Timbalan Pengarah Akademik, Sazuan Nazleen Mohd Azam.










