PETALING JAYA: Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) mengumumkan kejayaan penyempurnaan Loji Rawatan Air (LRA) Kembar Digital Pertama Malaysia di LRA Semenyih 2.
Ia hasil kerjasama dengan Schneider Electric, peneraju global dalam transformasi digital bagi pengurusan dan pengautomasian tenaga.
Loji itu dijangkakan mampu meningkatkan produktiviti sehingga 20 peratus dengan purata pengeluaran sebanyak 100 juta liter sehari (MLD).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali, penekanan terhadap kepentingan penggunaan teknologi bagi membina daya tahan serta kemapanan dalam pengurusan air adalah tindakan yang lebih cekap.
“Penyelesaian Kembar Digital merupakan satu lonjakan besar bagi industri air. Dengan keupayaan untuk memantau dan mengoptimumkan operasi LRA kami pada masa nyata.
“Kami dapat menyediakan bekalan air yang lebih konsisten dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada 9.62 pengguna kami seterusnya mencapai visi menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang tahun 2030,” katanya.
Sementara itu, Presiden Negara untuk Malaysia Schneider Electric, Eugene Quah berkata, keterjaminan air merupakan isu yang perlu ditangani segera dengan mengiktiraf semua aset dalam sektor ini sebagai sumber yang boleh dioptimumkan dan menerima pakai konsep ekonomi kitaran.
Katanya, dengan melihat air dan proses yang berkaitan sebagai sistem yang saling berkait, kita dapat meningkatkan kemampanan, mengoptimumkan penggunaan sumber, dan mempertingkatkan kecekapan.
“Pelaburan dalam teknologi rawatan air yang inovatif dan amalan terbaik adalah langkah yang penting. Kami memuji usaha proaktif Air Selangor dalam membina masa depan air yang lebih mampan di Malaysia,” katanya.
Menampilkan projek yang memacu kelestarian dan kecekapan operasi, LRA itu menerima pengiktirafan antarabangsa, dengan disenarai pendek bagi anugerah berprestij Global Water Awards 2025 oleh Global Water Intelligence (GWI) di bawah kategori ‘Water Project of the Year’. – UTUSAN










