Zii Jia, Aaron-Wooi Yik pulang awal

Zii Jia, Aaron-Wooi Yik pulang awal

LEE Zii Jia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama selepas dia tunduk kepada wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long pada Kejohanan Badminton All England 2025 di Utilita Arena Birmingham, England, hari ini.

Menghuni ranking No. 7 dunia, Zii Jia tumpas kepada Ka Long yang berada di kedudukan lebih rendah iaitu ke-19 dunia 21-19, 16-21, 12-21 dalam masa 1 jam 2 minit.

Lebih malang lagi, beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berada di tangga No. 5 dunia turut ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan ke-15 dunia, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark 16-21, 21-16, 18-21 dalam masa 1 jam 2 minit.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu sebelum ini turut terkandas di pusingan pertama pada Orleans Masters, minggu lalu.

Bagai serba yang tidak kena, badi kekalahan itu berjangkit pula kepada satu lagi beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang tumbang kepada wakil tuan rumah, Ben Lane-Sean Vendy 18-21, 19-21 dalam masa 44 minit.

Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, gandingan No. 16 dunia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tewas kepada Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hui dari Taiwan 18-21, 20-22 dalam masa 43 minit.

Kekalahan tersebut menjadi titik noktah kepada pasangan veteran itu beraksi bersama, selepas Kian Meng mengumumkan untuk bersara dengan menjadikan All England sebagai gelanggang terakhirnya.

Selepas ini hanya Pei Jing yang akan terus beraksi di pentas antarabangsa bersama gandingan yang baharu pula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×