SEOUL: Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik yang tidak dikenali ke arah perairan pantai baratnya hari ini, ketika Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan memulakan latihan tahunan ketenteraan bersama.
Menurut Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS), peluru berpandu itu dilepaskan ke arah laut di luar pantai barat pada pukul 1.50 tengah hari (waktu tempatan).
Susulan pelancaran itu, tentera Korea Selatan meningkatkan pemantauan dan tahap kewaspadaannya.
AS menempatkan puluhan ribu tenteranya di Korea Selatan dan kedua-dua negara sekutu itu kerap mengadakan latihan bersama yang digambarkan sebagai langkah pertahanan.
Namun, latihan ketenteraan itu membangkitkan kemarahan Pyongyang, yang menganggapnya sebagai persiapan untuk pencerobohan serta bertindak balas dengan ujian senjata.
Media rasmi Korea Utara mengkritik latihan ketenteraan itu dengan mendakwa ia akan memburukkan lagi keadaan di Semenanjung Korea.
Latihan bersama itu, dikenali sebagai Freedom Shield, dijadualkan berlangsung hingga 20 Mac dan bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan terhadap ancaman, termasuk dari Korea Utara.- AGENSI/AFP











