Mungkin sebelum ini anda sudah biasa bersenam setiap hari atau di hujung minggu. Bagi yang terbiasa dengan rutin itu, kalau tidak bersenam, pasti rasa tidak sedap badan. Sengal-sengal, lemah dan lenguh.
Bayangkan kalau anda berhenti melakukan senaman sepanjang Ramadan, apakah kebarangkalian yang mungkin terjadi pada tubuh? Jurulatih kecerdasan, Mohd. Zamri Zainul Abidin, 40, berkata, secara purata, individu berpuasa 13 jam sehari, menyebabkan masa amat terbatas dalam melakukan aktiviti lain selepas pulang dari kerja dan menguruskan rumah tangga.
Namun katanya, kalau ada keinginan ia boleh dilaksanakan asalkan tidak terlalu memaksa.
“Saya sarankan individu cuba mengambil masa satu jam atau setengah jam sebelum waktu berbuka puasa dan bersahur untuk bersenam.
“Cuba kurangkan teknik larian, contohnya daripada segi kilometer, mungkin sebelum ini kita berlari sejauh 10 kilometer (km), tetapi bulan ini kita kurangkan mungkin sejauh 5km sahaja. Kalau tidak berlari, joging santai sahaja pun tidak mengapa. Yang penting, dapatkan kesesuaian diri terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Mohd. Zamri berkata larian perlu dilakukan setiap hari, dan cuba tingkatkan masa larian.
“Apabila sudah dapat momentum tambah dengan kadar kelajuan, Insya-Allah individu akan merasa nikmat kesihatan,” katanya.
Mohd. Zamri berkata, setiap golongan tanpa mengira usia perlu bersenam berpada-pada.

“Jangan ikut orang sebaliknya ikut kemampuan, yang penting amalkan aktiviti sihat,” katanya.
Duta Spartan Malaysia 2019 ini memperuntukkan lima jam seminggu untuk bersenam termasuk berlari dan ke gim.
Selaku duta, tugasnya antara lain mempromosi acara dan aktiviti Spartan Malaysia dan Spartan International serta mewakili negara atas jenama itu.
JAGA KESELAMATAN
Larian dan senaman, sama ada dilakukan sewaktu dinihari, malam atau awal pagi perlu menitik beratkan aspek keselamatan diri dan persekitaran.
Mohd. Zamri yang lebih dikenali sebagai Coach Awie berkata, bagi individu yang tidak biasa melakukan larian, eloklah melakukannya di kawasan perumahan atau taman.
Ini kerana jika berlaku perkara tidak diingini seperti pengsan, orang awam senang nampak dan boleh menghulurkan bantuan segera, berbanding berlari di kawasan tidak ramai orang.
“Saya pernah menjadi saksi seorang pelari pengsan. Bila saya periksa, dia kata kadar degupan jantung naik dan berasa pening lalu jatuh. Mujur sahaja dia rebah waktu saya berada tidak jauh daripadanya.
“Andai lambat diselamatkan, kebarangkalian mendapat strok adalah tinggi,” katanya.
Sihat, insurans hayat
Mohd. Zamri bersenam sebagai amalan kesihatan kerana ia adalah insurans percuma dan tidak sama seperti mana insurans sedia ada.
Beliau berjinak-jinak dengan dunia kecerdasan 10 tahun lalu, selepas memerhati ramai orang muda menghidap pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti.
Hal itu membuatkan dirinya mahu terus bersenam dan bersukan demi kesihatan. Alang-alang minat, beliau jadikan jurulatih sebagai kerjaya yang membolehkannya turut sama menyara keluarga.
“Sedar tak sedar dah 10 tahun saya menjadi jurulatih. Pada saya kepuasan membantu orang ramai mencapai impian sihat itulah dorongan kerjaya.
“Ada klien saya, menghidap kencing manis sehingga perlu bergantung sepenuhnya pada ubat-ubatan. Selepas menjalani regim kesihatan dengan saya alhamdulillah dia maklumkan sihat sepenuhnya,” katanya.
Khabar gembira itu membuatkan Mohd. Zamri lebih bersemangat dalam bidang kecerdasan dengan menjadi jurulatih sepenuh masa.
Beliau membantu lebih ramai lagi orang yang mahu hidup sihat dengan cara selamat dan tidak mengeluarkan belanja yang tinggi.
TIPS:
l Berlari di lokasi awam seperti jalan raya juga perlu berhati-hati dan ikut arah bertentangan kerana pemandu kenderaan biasanya memandu laju dan mungkin tidak perasan kehadiran anda.
l Pakaian terang, peralatan lain seperti lampu keselamatan, kasut atau seluar boleh memantulkan cahaya.
l Kasut sesuai boleh mengelakkan risiko terjatuh dan cedera sewaktu melakukan aktiviti.
l Fabrik pakaian sukan jenis dry fit mudah kering dan haba mudah keluar. Jangan pakai jenis kapas kerana ia boleh mengakibatkan strok haba.
Mohd. Zamri Zainul Abidin
» Kerjaya: Jurulatih kecerdasan
» Status: Bapa kepada tiga cahaya mata
» Pencapaian: Tempat ketiga bagi kategori berkumpulan Spartan Malaysia World Championship Qualifier di Putrajaya (2018)
» Tempat keempat kategori Age Spartan Malaysia Johor (2019).
» Kelas: Disediakan secara percuma untuk open running dan belajar mengenai teknik larian yang betul setiap Jumaat malam di Bukit Damansara. Perkembangan terkini boleh rujuk Instagram:
mr_awie_zainul.











