BANGKOK: Seorang lelaki ditahan selepas bertindak kejam menikam seorang wanita yang juga bekas adik iparnya sebanyak 18 kali di tepi jalan di wilayah tengah Ayutthaya semalam selepas menyangka mangsa adalah bekas isterinya.
Pasukan polis dari Balai Polis Phak Hai yang telah dimaklumkan tentang kejadian tersebut pada kira-kira pukul 6.15 pagi semalam menemui wanita itu, Waraporn dengan kecederaan parah sebaik tiba di lokasi.
Wanita berusia 39 tahun tersebut ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan sekurang-kurangnya 18 luka tikaman di leher dan badannya di bawah sebatang pokok besar.
Pasukan penyelamat telah membawa Waraporn ke hospital namun dia kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Kakaknya yang berusia 40 tahun, Jureeporn, memaklumkan polis bahawa pembunuh tersebut ialah bekas suaminya, Boonma.
Polis kemudian menghubungi ibu Boonma yang mendedahkan laluan diambil oleh anaknya untuk melarikan diri dari tempat kejadian.
Pasukan polis berjaya menjejaki Boonma di sebuah jalan luar bandar di daerah Bang Ban, wilayah Ayutthaya.
Boonma menjelaskan, dia berkahwin dengan Jureeporn sebelum ditangkap dan dipenjarakan tiga tahun lalu.
Dia dibebaskan kira-kira empat bulan lalu dan terus menghubungi Jureeporn dengan harapan untuk berbaik semula, namun wanita itu menolak dan memberitahu sudah mempunyai teman lelaki baharu.
Boonma yang sering melihat gambar Jureeporn bersama pasangan barunya di media sosial merasa cemburu dan putus asa sebelum merancang untuk membunuh bekas isterinya, dengan mempercayai bahawa Jureeporn akan meninggalkan rumah awal setiap pagi untuk pergi bekerja.
Dia juga tahu Jureeporn akan menunggu kenderaan syarikatnya di lokasi serangan dan bersembunyi berhampiran untuk menunggunya.
Boonma mengaku bahawa dia menikam mangsa menggunakan gunting, tetapi tidak dapat mengingati berapa kali tikaman dilakukan.
Dia benar-benar percaya telah membunuh Jureeporn, namun kemudian mengetahui daripada ibunya bahawa mangsa sebenarnya ialah bekas adik iparnya.
Boonma berhadapan dengan hukuman maksimum di bawah Seksyen 289(4) Kanun Keseksaan kerana pembunuhan terancang yang membawa hukuman mati.
Kes serupa melibatkan kesilapan identiti dalam pembunuhan turutberlaku pada 2023 di wilayah selatan Nakhon Si Thammarat.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki bersenjata api yang merupakan bekas pegawai tentera menyerah diri dan mengaku menembak mati seorang pemandu lori wanita namun sebenarnya tersalah sasaran.
Pembunuh tersebut mendakwa dia diupah oleh seorang lagi pemandu lori susu untuk membunuh suami wanita itu kerana konflik perniagaan.-AGENSI










