WASHINGTON: Para saintis berhimpun di bandar-bandar di seluruh Amerika Syarikat (AS) bagi mengecam usaha pentadbiran Presiden, Donald Trump menghapuskan kakitangan utama merentasi pelbagai agensi dan mengekang penyelidikan yang menyelamatkan nyawa.
Sejak Trump kembali ke Rumah Putih, kerajaannya telah memotong pembiayaan penyelidikan persekutuan, menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Perjanjian Iklim Paris serta berusaha memecat ratusan pekerja persekutuan yang berkhidmat dalam penyelidikan kesihatan dan iklim.
Sebagai tindak balas, penyelidik, doktor, pelajar, jurutera dan pegawai yang dilantik turun ke jalan di New York, Washington, Boston, Chicago, Madison dan Wisconsin untuk melepaskan kemarahan mereka terhadap apa yang dilihat sebagai serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap bidang sains.
“Saya tidak pernah marah sebegini,” kata Jesse Heitner, seorang penyelidik di Massachusetts General Hospital di Boston, yang menyertai lebih 1,000 orang berdemonstrasi di ibu negara AS.
Ramai penunjuk perasaan turut meluahkan kekecewaa dengan pelantikan Robert F. Kennedy Jr yang ragu-ragu terhadap vaksin sebagai ketua Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia.
“Saya sudah menjalankan penyelidikan selama lebh 30 tahun. Apa yang berlaku sekarang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Perkara ini tidak boleh didiamkan sahaja keran memberi impak jangka panjang,” kata Grover, seorang penyelidik universiti berusia 50-an yang enggan memberikan butiran peribadi lanjut kerana kekangan profesional.
Berpakaian kot makmal serba putih dan memegang papan tanda merah jambu bertulis ‘Berjuang untuk Sains’ dia memberitahu AFP bahawa majikannya menggesa kakitangan supaya tidak mendedakan dentiti sebenar mereka kerana gusar kerajaan akanmenggantung atau membatalkan geran persekutuan yang diterima mereka.
Ramai penyelidik memberitahu AFP tentang kebimbangan mereka tentang masa depan geran dan pembiayaan lain.
Penggantungan beberapa geran telah menyebabkan beberapa universiti mengurangkan bilangan pelajar yang diterima ke program kedoktoran atau jawatan penyelidikan.
Bagi golongan yang baru memulakan kerjaya mereka, kebimbangan itu jelas dapat dirasai.
“Saya sepatutnya berada di rumah untuk belajar, bukannya perlu berada di sini mempertahankan hak saya untuk mendapat pekerjaan,” kata Rebecca Glisson, seorang pelajar kedoktoran dalam bidang neurosains berusia 28 tahun.-AFP











