OIC sokong rancangan alternatif pengambilalihan Gaza

OIC sokong rancangan alternatif pengambilalihan Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEDDAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyokong cadangan balas Liga Arab terhadap rancangan kontroversi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduknya, pada Jumaat.

Menurut dua menteri, keputusan OIC yang terdiri daripada 57 negara anggota itu dibuat dalam mesyuarat tergempar di Jeddah, Arab Saudi, tiga hari selepas Liga Arab meluluskan rancangan tersebut di sidang kemuncak di Kaherah.

Cadangan alternatif yang digubal oleh Mesir iaitu membina semula Gaza di bawah pentadbiran pihak berkuasa Palestin akan datang itu sebagai tindak balas kepada rancangan Trump yang telah dikecam secara meluas.

“Mesyuarat tergempar menteri-menteri OIC telah menerima pakai rancangan Mesir yang kini menjadi rancangan Arab-Islam,” kata Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, dengan kenyataan yang disokong oleh rakan sejawatannya dari Sudan.

“Ia sememangnya satu perkara yang sangat positif,” kata Badr.

Trump telah mencetuskan kemarahan global dengan mencadangkan agar AS mengambil alih Gaza dan mengubahnya menjadi ‘Riviera Asia Barat’, sambil memaksa penduduk Palestin berpindah ke Mesir atau Jordan.

Dalam sidang kemuncak di Kaherah pada Selasa, pemimpin-pemimpin Arab juga mengumumkan dana amanah untuk membiayai pembinaan semula Gaza dan menggesa komuniti antarabangsa menyokongnya.

“Langkah seterusnya adalah untuk menjadikannya rancangan antarabangsa melalui Kesatuan Eropah (EU) dan pihak antarabangsa seperti Jepun, Russia, China dan lain-lain.

“Ini yang akan kami usahakan dan kami telah berhubung dengan semua pihak, termasuk AS,” katanya.

Bagaimanapun, cadangan balas itu tidak menyatakan peranan Hamas yang mengawal Gaza dan telah ditolak oleh AS dan Israel.

Menurut jurucakap Jabatan Negara, Tammy Bruce, rancangan itu juga tidak memenuhi harapan Washington.

Utusan Trump untuk Asia Barat, Steve Witkoff, memberikan reaksi yang lebih positif, dengan menyebutnya sebagai ‘langkah pertama yang ikhlas dari Mesir’.

Rabha Seif Allam, dari Pusat Kajian Politik dan Strategik Al-Ahram di Kaherah berkata, Mesir sedang mencari sokongan lebih luas untuk cadangannya.

“Ini adalah percubaan untuk membina pakatan luas yang menolak pemindahan rakyat Palestin dari Gaza, katanya.

Rancangan Trump telah menyatukan negara-negara Arab untuk menentangnya dan Arab Saudi juga menjadi tuan rumah kepada pemimpin-pemimpin Arab dua minggu lalu bagi membincangkan pelan alternatif membantu rakyat Gaza.

OIC juga telah menerima semula Syria yang digantung pada 2012 pada awal perang saudara di bawah Bashar al-Assad, selepas penggulingan pemerintah lama itu pada Disember.

“Keputusan ini mewakili langkah penting ke arah kepulangan Syria kepada komuniti serantau dan antarabangsa sebagai negara yang bebas dan adil,” menurut kenyataan kementerian luar Syria.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×