Terengganu mampu jadi penghalang Selangor, Sabah 

Terengganu mampu jadi penghalang Selangor, Sabah 

Jentera serangan Terengganu FC diketuai Safawi Rasid (dua dari kanan) dan Akhyar Rashid (kanan) mampu menjadi penghalang kepada Sabah dan Selangor untuk meraih kedudukan tangga kedua dalam carta Liga Super. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perebutan bagi menamatkan saingan Liga Super sebagai pasukan kedua terbaik membabitkan Selangor FC dan Sabah FC semakin memuncak berikutan kedudukan tersebut menawarkan slot ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) II musim depan.

Selain beraksi di pentas kedua tertinggi di Asia itu selepas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), setiap pasukan yang bertanding berpeluang merebut hadiah wang tunai lumayan.

Melihat kepada senario itu, bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, kedua-dua pasukan tersebut tidak boleh keciciran sebarang mata bagi memastikan tempat kedua terbaik menjadi milik mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang sama rata dan perjalanan mereka untuk merebut tempat kedua pasukan terbaik juga adalah sama. Apa yang penting mereka tidak boleh kehilangan sebarang mata untuk tiga aksi terakhir liga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Azlan turut berkata, Terengganu FC dilihat menjadi satu-satunya pasukan yang boleh memberi ancaman kepada kedua-dua pasukan itu memandangkan skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu dijadual menentang Sabah FC hari ini dan Selangor FC pada 5 April.

“Saya fikir Terengganu FC ini boleh jadi pengacau kepada Selangor dan Sabah sebab bagi saya pertemuan menentang Terengganu FC boleh menjadi penentu kepada Selangor dan Sabah untuk menamatkan saingan di tempat kedua.

“Jika Selangor FC dan Sabah FC tidak berupaya menewaskan Terengganu maka saya fikir peluang mereka untuk muncul pasukan kedua terbaik liga adalah tipis,” katanya.

Ketika ini, Selangor FC menduduki tempat kedua setelah mengumpul 43 mata meninggalkan Sabah FC lapan mata di tempat ketiga manakala Terengganu di tempat keempat dengan 31 mata.

Jika sesebuah pasukan layak beraksi di peringkat kumpulan ACL II, mereka akan diberikan ganjaran secara kasar iaitu sebanyak AS$300,000 (RM1.3 juta) tidak termasuk hadiah kemenangan.

Sekiranya layak ke pusingan ke 16 terbaik, ia akan ditambah kepada AS$80,000 (RM 355,800), suku akhir AS$60,000 (RM711,600), separuh akhir AS$240,000 (RM 1.6 juta), naib johan AS$1 juta (RM4.4 juta) dan juara akan membawa pulang AS$3.28 juta (RM 14.5 juta). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×