Pernas catat nilai jualan RM21.3 juta di PPIF 2025

Pernas catat nilai jualan RM21.3 juta di PIFF 2025

DARI kiri: Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin, Ewon Benedick, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Dzaimee Daud dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah pada majlis pelancaran Festival Francais Antarabangsa Pernas 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) mencatat nilai jualan sebanyak RM21.3 juta di Festival Francais Antarabangsa Pernas (PIFF) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 hingga 9 Februari lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata,  jualan itu RM9.3 juta lebih tinggi daripada sasaran sebanyak RM12 juta.

Beliau berkata, penganjuran PIFF 2025 bukan sahaja mempromosi keseluruhan ekosistem keusahawanan francais khususnya dalam sektor kopi dan kafe, malah turut membantu pertumbuhan ekonomi negara.

“Malaysia, China dan Taiwan antara negara yang menyertai festival ini, diikuti tujuh negara lain dengan penyertaan sebanyak 83 jenama dan menarik kedatangan lebih 16,000 pengunjung,” katanya dalam kenyataan.

Bertemakan ‘Brew Your Success, Empowering Entrepreneurs’, PIFF 2025 memberi fokus kepada industri kopi, teh dan kafe di mana acara itu menyediakan banyak aktiviti menarik seperti pameran produk, cabutan bertuah dan persembahan artis terkemuka.

Menurut Ewon, sempena  festival itu,  Pelancaran Dasar Francais Negara (DFN) 2030 serta pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara Pernas dan SME Corp, Prasarana Integrated Development Sdn. Bhd. (Pride), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) turut diadakan.

“KUSKOP melalui Pernas komited dalam melaksanakan lebih banyak program keusahawanan dan PIFF dijangka akan dianjurkan lagi pada masa akan datang untuk membuka lebih banyak ruang kepada orang ramai meneroka bidang perniagaan francais,” katanya.

Pernas adalah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia dan mengembangkan komuniti usahawan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×