Tanggungjawab laksana reformasi di bahu penjawat awam

Tanggungjawab laksana reformasi di bahu penjawat awam

PENJAWAT awam perlu menekankan nilai taat setia sebagai kepatuhan dalam menjalankan tugas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PIHAK kerajaan khususnya Perdana Menteri sendiri meletakkan harapan tinggi kepada penjawat awam untuk menjayakan agenda reformasi dalam sektor awam demi menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan efisien kepada rakyat selain membangunkan Malaysia Madani.

Atas sebab itulah pihak kerajaan sangat mengutamakan kebajikan penjawat awam apabila secara berterusan menyediakan pelbagai insentif, inisiatif dan bantuan sebagai dorongan serta suntikan motivasi bagi melonjakkan prestasi masing-masing.

Antara pengumuman dan keputusan kerajaan yang menggembirakan dan memberi impak positif kepada kehidupan penjawat awam ialah pelarasan gaji sebanyak 13 peratus. Ia merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, selain pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) dan pelbagai inisiatif tambahan lain.

Hakikatnya merealisasikan agenda reformasi tidak semudah itu jika setiap penjawat awam tidak mahu, tidak bersedia mahupun gagal untuk menjiwai dan menghayati apa yang dihasratkan. Ringkasnya, perubahan itu perlu bermula dengan penjawat itu sendiri.

Justeru, menjadi tanggungjawab penjawat awam untuk segera memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan yang ada mencakupi aspek tatakelakuan, tindakan, disiplin, cara berfikir, jati diri, kepercayaan dan keutamaan sekali gus mempamerkan prestasi yang menunjukkan peningkatan dengan berkhidmat penuh keikhlasan. Hanya dengan pendekatan menyeluruh seperti ini barulah kita mampu menjayakan agenda merealisasikan reformasi secara total.

Dalam konteks ini, antara tanggungjawab penjawat awam ialah berusaha keras untuk meningkatkan tahap kompetensi masing-masing supaya dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara. Penjawat awam perlu bersedia meneroka kemahiran baharu melalui latihan yang berterusan khususnya dalam bidang-bidang kritikal dan terkini yang akan memudahkan proses membuat kerja serta penyediaan perkhidmatan kepada pelanggan.

Misalnya perlu bersedia dan terbuka menjalani latihan bagi meningkatkan tahap pemahaman dan pengetahuan dalam bidang teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) yang dilihat mula menjadi senjata ampuh untuk melaksanakan transformasi perkhidmatan awam ke arah pendigitalan. Ini akan memudahkan rakyat mengakses pelbagai kemudahan sedia ada di sektor kerajaan.

Selain itu, karenah birokrasi yang membelenggu perkhidmatan awam perlukan reformasi. Hakikatnya, rakyat mahukan perkhidmatan yang cekap, efisien dan segera tanpa karenah birokrasi yang menyebabkan perlu menunggu terlalu lama untuk mendapat perkhidmatan atau melalui pelbagai lapisan proses kerja sebelum memperoleh sesuatu keputusan atau kelulusan.

Jadi dalam hal ini, penjawat awam perlu mendukung dan menjayakan Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dan Pekeliling Uji Kaji Peraturan yang telah dilancarkan. RKB adalah panduan kepada semua agensi awam untuk mempercepat pelaksanaan reformasi kerenah birokrasi bagi memastikan pentadbiran yang lebih cekap. Pelaksanaan pekeliling ini boleh memastikan pentadbiran dikelola dengan lebih cekap, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan beban peraturan tidak wajar terhadap rakyat serta perniagaan.

Manakala Pekeliling Uji Kaji Peraturan pula memberi panduan kepada pengawal selia untuk menguji pendekatan baharu terhadap peraturan sedia ada agar lebih inovatif, berkualiti tinggi dan relevan dengan keperluan semasa dalam menangani cabaran semasa yang kompleks.

Kerajaan menyasarkan 500 projek RKB dilaksanakan pada tahun ini yang dilihat mampu mempercepatkan proses transformasi sektor awam, memperkukuh perkhidmatan kepada rakyat dan mendukung agenda pembangunan negara.

Maka menjadi tanggungjawab setiap penjawat awam untuk bersama-sama berganding bahu menghayati dan menjayakan pekeliling ini dengan penuh dedikasi dan ikhlas. Ambil peluang ini untuk menyemak dan menambah baik segala peraturan, prosedur dan proses kerja yang ada, yang mungkin selama ini membebankan rakyat. Harapan rakyat ialah RKB mampu mengurangkan kerenah dan bebanan birokrasi yang tidak lagi relevan, selain boleh memperoleh perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah dan efisien.

Satu lagi tanggungjawab signifikan penjawat awam ialah terus memperkasa tadbir urus dan tatakelola yang baik. Cukuplah masalah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan membelenggu serta menjejaskan nama baik dan reputasi perkhidmatan awam selama ini.

Walaupun hanya membabitkan segelintir yang tamak dan mementingkan diri namun impak negatifnya tetap dirasai oleh seluruh warga penjawat awam. Sudah tiba masanya untuk kita memasang tekad dan iltizam menoktahkan segala jenis salah laku ini.

Apapun jawatan dan kedudukan kita, laksanakanlah tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan integriti. Jangan sesekali mengambil kesempatan, salah guna kuasa serta meminta dan menerima rasuah. Kita perlu sematkan budaya menolak segala jenis salah laku secara total tanpa sebarang kompromi dan tolak ansur.

Jangan juga tutup mata, telinga dan mulut jika didapati berlaku sebarang kecurangan integriti di sekeliling kita. Segera laporkan kepada pihak berkuasa agar perbuatan keji ini dapat dicegah lebih awal sebelum ia menular menjadi virus yang sukar dikawal mahupun diubati. Harus diingat, tidak mungkin kita dapat merealisasikan reformasi andai masalah integriti terus menjadi duri dalam daging di sektor awam negara ini.

TANAM NILAI TAAT SETIA
Sebagai penjawat awam kita juga perlu sentiasa menghayati konsep taat setia seperti yang dianjurkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang menekankan pentingnya nilai taat setia dalam kalangan penjawat awam sebagai kepatuhan dalam menjalankan tugas. Konsep taat setia kepada pemimpin, raja dan negara berpaksikan Rukun Negara serta Perlembagaan pastinya akan sentiasa menyedarkan penjawat awam terhadap tanggungjawab atau amanah kepada rakyat dan negara secara keseluruhannya.

Setiap penjawat awam juga perlu elak terperangkap dan menjadi Little Napoleon iaitu wujudnya perasaan diri berkuasa dan lebih hebat daripada orang lain dalam kalangan petugas sesuatu agensi. Persekitaran ini biasanya akan berlaku apabila seseorang pegawai itu dibiarkan bertugas terlalu lama dalam agensi tersebut.

Jika dibiarkan, golongan ini akan menjadi penghalang besar kepada segala usaha reformasi serta pelaksanaan dasar-dasar kerajaan kerana mereka akan lihat ia sebagai ancaman kepada kedudukan masing-masing. Budaya toksik ini perlu dikekang jika kita mahu menjayakan agenda reformasi perkhidmatan.

Semoga penjawat awam sedar harapan dan amanah yang disandarkan oleh rakyat, kerajaan dan negara sekali gus berganding bahu merealisasikan agenda reformasi perkhidmatan.-UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×