Fasa pertama gencatan senjata Gaza tamat

Fasa pertama gencatan senjata Gaza tamat

PENDUDUK Palestin berjalan di kawasan pasar bersebelahan runtuhan bangunan di Jabalia, utara Gaza, dua hari sebelum fasa pertama gencatan senjata tamat.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Fasa pertama gencatan senjata antara Israel dan Hamas tamat pada Sabtu, dengan rundingan mengenai peringkat seterusnya masih belum menemukan keputusan konkrit.

Gencatan senjata itu berkuat kuasa sejak 19 Januari lalu, selepas lebih 15 bulan perang paling dahsyat dalam sejarah negara melanda wilayah Gaza pada 7 Oktober 2023.

Dalam beberapa minggu lalu, pejuang Hamas membebaskan 25 tebusan yang masih hidup dan menyerahkan lapan mayat kepada Israel, sebagai pertukaran dengan ratusanan tahanan Palestin di penjara rejim.

Fasa kedua, dikendalikan oleh Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir selepas berbulan-bulan rundingan, dijangka bermula pada Ahad dan menjamin pembebasan puluhan lagi tebusan Israel yang masih berada di Gaza.

Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijadual mengadakan mesyuarat menteri bersama pegawai keselamatan selepas menghantar delegasi ke Mesir untuk berbincang mengenai fasa kedua gencatan senjata.

Khamis lalu, Perkhidmatan Maklumat Negara Mesir memaklumkan, pihak terlibat sudah memulakan rundingan intensif untuk membincangkan fasa seterusnya dalam perjanjian gencatan senjata, serentak memastikan pelaksanaan persefahaman yang dipersetujui sebelum ini.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz menegaskan senario pilihan Israel hanya untuk membebaskan lebih ramai tebusan di bawah lanjutan fasa pertama, namun tiada rancangan memulakan fasa kedua.

Sementara, bagi pihak Hamas pula mendesak agar fasa kedua dimulakan seperti yang dipersetujui dalam rundingan sebelum gencatan senjata dimeterai sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, kumpulan pejuang itu menegaskan komitmennya untuk melaksanakan semua peruntukan perjanjian dalam semua peringkat.

Hamas turut menggesa tekanan antarabangsa terhadap Israel untuk segera memasuki fasa kedua perjanjian tanpa sebarang penangguhan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, gencatan senjata dan perjanjian tebusan antara Israel dan Hamas mesti dipertahankan.

“Hari-hari mendatang adalah kritikal. Semua pihak mesti berusaha untuk mengelakkan kegagalan perjanjian itu,” katanya di New York, hanya beberapa jam sebelum fasa awal tamat.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×