TANAH MERAH: Bapa kepada Hud Aryan yang dijumpai lemas di celahan pokok di Sungai Kerilla di sini, belum memberikan keterangan kepada polis berhubung kematian kanak-kanak itu.
Mohd. Nor Hafifi Saidi, 34, berkata, ketika ini polis menasihatkan dia supaya berehat kerana isterinya, Azean Nur Atikah Ramley, 34, masih lagi bersedih dengan kejadian yang menimpa anak tunggal mereka itu.
“Buat masa ini, saya dan isteri masih bersedih dengan kehilangan Hud Aryan selain memerlukan masa agar tidak diganggu sekali gus dapat menenangkan fikiran.
“Buat masa ini, saya masih tinggal di rumah ibu mentua di Kampung Aira, Kuala Tiga dan belum tahu lagi bila akan pulang ke rumah sewa kami di Kampung Bechah Laut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohd. Nur Hafifi berkata, ketika ini isterinya sangat merindukan Hud Aryan dan sentiasa berdoa supaya dapat bercakap anaknya itu dalam mimpi.
“Dia sentiasa berdoa dan berharap Hud Aryan hadir dalam mimpi buat seketika. Isteri hanya mahu menatap wajah Hud Aryan dan hanya itu yang boleh menenangkan jiwanya,” katanya.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, polis akan mengambil keterangan terhadap ibu dan bapa Hud Aryan yang ditemukan lemas selepas tersangkut atas pokok di kawasan Sungai Kerilla, Tanah Merah.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan untuk melihat sama ada berlaku kecuaian atau tidak dalam kes berkenaan selepas laporan bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah. – UTUSAN











