Lapan maut, bangunan kediaman musnah dijilat api

Lapan maut, bangunan kediaman musnah dijilat api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Lapan maut dalam kebakaran di wilayah ibu negara Filipina semalam, memusnahkan sebuah bangunan kediaman tiga tingkat dalam tempoh kurang satu jam.

Kebakaran itu, turut mencederakan sekurang-kurangnya seorang penduduk, berlaku selepas tengah malam di bangunan yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu ketika penghuni sedang tidur di perkampungan San Isidro Galas, Quezon City.

Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran.

Dua daripada mangsa ditemukan di tingkat bawah, manakala enam lagi dijumpai di tingkat dua, tempat kebakaran dipercayai bermula, kata pegawai kanan bomba, Rolando Valena kepada The Associated Press, merujuk kepada keterangan saksi.

Kebakaran berlaku hanya dua hari sebelum Filipina menyambut bulan pencegahan kebakaran pada Mac, di mana kerajaan melancarkan kempen tahunan untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kebakaran menjelang musim panas.

Banyak kebakaran maut di Filipina dikaitkan dengan penguatkuasaan peraturan keselamatan yang lemah, kesesakan penduduk dan reka bentuk bangunan yang cacat.

Pada 1996, kebakaran di sebuah disko di Quezon City meragut 162 nyawa, kebanyakannya pelajar yang meraikan penghujung tahun persekolahan.

Tragedi itu menjadi satu kebakaran kelab malam paling dahsyat di dunia dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Mangsa tidak dapat melarikan diri kerana pintu kecemasan dihalang oleh bangunan yang dibina bersebelahan.– AP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×