Penggodam antarabangsa ditahan di Thailand

Penggodam antarabangsa ditahan di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 39 tahun yang dipercayai bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya 75 kes penggodaman di seluruh dunia ditahan di Thailand pada Rabu.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Singapura (SPF), penangkapan tersebut dilakukan selepas operasi merentas sempadan yang dijalankan oleh SPF dan Polis Diraja Thailand.

Firma keselamatan siber, Group-IB yang turut membantu siasatan mengesahkan lelaki tersebut bertanggungjawab terhadap lebih 90 kes kebocoran data di seluruh dunia termasuk 65 kes di rantau Asia-Pasifik dengan Thailand mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 21 kes, diikuti Singapura (14 kes).

Firma tersebut juga menggambarkan suspek sebagai antara penjenayah siber yang paling aktif di Asia-Pasifik sejak 2021.

Siasatan terhadap kebocoran data ini bermula pada 2020 selepas 11 mangsa di Singapura membuat laporan polis yang terpaksa menghadapi tuntutan wang tebusan daripada beberapa individu menggelarkan diri mereka sebagai Altdos, Desorden, GhostR, dan 0mid16B.

Pihak berkuasa percaya pelbagai nama samaran ini mungkin adalah individu yang sama.

Apabila mangsa gagal membayar wang tebusan yang diminta, data dicuri akan diterbitkan secara dalam talian dan dijual.

Desorden mencuri perhatian pada 2021 selepas membocorkan data daripada agensi pekerjaan Protemps Employment Services secara dalam talian, dengan harga 2.10 pound (RM11.76) selain mengaku bertanggungjawab terhadap dua insiden penggodaman vendor komputer Acer di India dan Taiwan.

Altdos pula terlibat dalam penggodaman firma hartanah OrangeTee & Tie pada Ogos 2021 yang menyebabkan maklumat lebih daripada 250,000 pelanggan, pekerja, dan ejen terdedah.

Kenyataan polis menyebut bahawa pegawai dari Komando Jenayah Siber di SPF bekerjasama rapat dengan polis Thailand untuk berkongsi penemuan daripada siasatan dan membantu mengenal pasti identiti suspek.

Polis Thailand telah merampas aset bernilai lebih 10 juta baht (RM1.3 juta), termasuk komputer riba, telefon bimbit, kenderaan mewah dan beg berjenama.

Siasatan masih diteruskan, namun kewarganegaraan suspek tidak dinyatakan dalam kenyataan SPF.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Poli,s Paul Tay, mengucapkan penghargaan kepada Polis Diraja Thailand dan menegaskan komitmen SPF untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan serantau.

AC Tay, yang juga merupakan ketua Komando Jenayah Siber, berkata, pihaknya tidak akan berhenti memburu penjenayah siber.

“Kami akan mengejar mereka di mana sahaja mereka berada dan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×