BURIRAM: Bekas juara MotoGP, Marc Marquez mengaku berasa gugup menjelang penampilan pertamanya bersama pasukan Ducati pada perlumbaan Grand Prix (GP) Thailand pada hujung minggu ini.
Juara Dunia lapan kali itu mendominasi ujian pra musim, termasuk menduduki tempat teratas pada kedua-dua hari ujian di Litar Antarabangsa Buriram, lokasi yang akan menjadi tuan rumah pembukaan musim pada Ahad ini.
Namun, walaupun ada petanda positif sepanjang ujian pra musim, Marquez berkata, dia masih berasa merasa gugup menjelang perlumbaan di Buriram.
“Saya selalu sedikit lebih gugup daripada yang sepatutnya untuk perlumbaan pertama musim ini, ia selalu menjadi GP yang istimewa.
“Saya gembira untuk berlumba di Thailand, kami tiba di sini selepas pra musim yang baik dan dengan asas yang baik, kami bekerja dengan sangat keras dan baik bersama pasukan.
“Perlumbaan, memang benar, adalah perkara yang berbeza, anda perlu menjaga semua butiran, tetapi saya benar-benar mahu bermula dan melakukan yang terbaik, ini pasti akan membantu untuk musim ini,” katanya.
Sementara itu, rakan sepasukannya di Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia, mengakui permulaan musim ini adalah detik istimewa.
“GP pertama musim ini adalah detik istimewa, perlumbaan yang sentiasa mempunyai rasa yang sedikit berbeza.
“Saya datang dari pra musim yang secara keseluruhan positif, tidak sempurna tetapi di mana kami banyak bekerja untuk memastikan motosikal berada dalam keadaan terbaik dan membuat pilihan pembangunan yang paling kukuh,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










